KIP, Helmi Azman Isi Slot 'Wildcard' Moto2 Di Sepang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/29/20241 min read


TEKA-teki mengenai siapa pelumba negara yang beraksi secara 'wildcard' di Grand Prix (GP) Malaysia 2024 berakhir menerusi pengumuman dua jaguh tempatan, Khairul Idham Pawi dan Helmi Azman oleh PETRONAS, hari ini.
Selepas mencipta sensasi menerusi video 'teaser' semalam yang menampakkan kelibat mirip pelumba Jepun, Kaito Toba, pasukan tajaan syarikat petroleum gergasi negara itu, PETRONAS MIE Racing Honda dalam video mengenai pengumuman itu menyenaraikan Khairul Idham dan Helmi.
Seperti dijangka, kedua-dua pelumba berbakat negara itu akan beraksi dalam kelas Moto2.
"Kami teruja untuk mengumumkan dua pelumba yang beraksi secara 'wildcard' dalam kelas Moto2 di Grand Prix Malaysia 2024 PETRONAS yang tidak lain tidak bukan pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi dan Helmi Azman," tulis pasukan itu.
"Tunjukkan sokongan kamu kepada wira-wira tempatan kita Khairul Idham dan Helmi Azman ketika mereka malawan pelumba-pelumba terbaik dunia dalam Moto2."
PETRONAS semalam melakukan 'kejutan' selepas memaparkan kelibat Toba pada video 'usik' mengenai pengumuman penampilan mereka secara 'wildcard' di Sepang.
Pada hantaran video itu, dapat dilihat pelumba yang memakai helmet dengan corak dan jenama yang digunakan oleh Toba yang sekali gus mencetus persoalan adakah salah satu slot berkenaan diisi bukan pelumba tempatan.
Seperti diketahui, Toba bukan asing dengan PETRONAS kerana dia adalah pelumba yang beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia dalam kelas WorldSSP musim ini selain Khairul Idham bersama pasukan PETRONAS MIE Racing Honda.
Sebagai info, PETRONAS tahun lalu turut menyenaraikan dua pelumba tempatan untuk beraksi secara 'wildcard' di GP Malaysia menerusi Helmi dan Azroy Hakeem Anuar serta berlumba menggunakan lencana PETRONAS MIE Racing RW.
