KIP Kutip 1 Mata Perlumbaan 1 Di Jerez, Huertas Juara Dunia WorldSSP 2024
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/19/20241 min read


KELEGAAN diperoleh pelumba negara, Khairul Idham Pawi apabila menamatkan kemarau pungutan matanya di WorldSSP selepas menamatkan Perlumbaan 1 Pusingan 12 WSBK 2024 di Jerez, Sepanyol di kedudukan ke-15, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan pelumba PETRONAS MIE Racing Honda itu kembali dalam kelompok pungutan mata selepas kali terakhir melakukannya di Magny-Cours, awal bulan lalu.
Berada di kedudukan lebih baik pada satu ketika, bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu begitupun terpaksa berpuas hati melepasi garisan penamat di kedudukan ke-15.
Memulakan perlumbaan di petak ke-20, keputusan boleh dianggap positif buat pelumba dengan julukan KIP itu.
Rakan sepasukannya dari Jepun, Kaito Toba menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.
Sementara itu, perlumbaan dimenangi pelumba Ten Kate Racing Yamaha, Stefano Manzi.
Tempat kedua menjadi milik Yari Montella (Barni Spark Racing) dan pelumba Aruba.it Racing WorldSSP, Adrian Huertas melengkapkan kedudukan podium.
Menariknya, keputusan turut menyaksikan Huertas dari Sepanyol mengesahkan kejuaraan dunia WorldSSP 2024.
