KIP Mahu Penamat Terbaik Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/18/20241 min read

PELUMBA negara di pentas WorldSSP, Khairul Idham Pawi berharap penampilannya pada pusingan terakhir WSBK musim ini di Jerez, Sepanyol memberikan keputusan yang bermakna buatnya.

Untuk pusingan kali ini, pasukan PETRONAS MIE Racing Honda tidak mendapat 'bantuan' daripada pelumba 'wildcard' namun berharap pengalaman dimiliki kedua-dua pelumbanya iaitu Khairul Idham yang lebih dikenali KIP dan Kaito Toba di Jerez mampu menjelmakan sesuatu.

"Kami melihat beberapa peningkatan di Estoril dan kami mampu untuk merapatkan sedikit jurang dengan kumpulan depan, jadi saya mahu terus melakukan lebih lagi dari sudut itu di Jerez, lakukan sebaik mungkin yang kami boleh pada dua perlumbaan terakhir musim ini," kata KIP.

"Saya mengenali litar ini dengan baik daripada pengalaman saya beraksi di Moto2 dan Moto3 jadi harapnya dengan pemahaman saya di litar kami boleh memanfaatkannya apabila kami mula bekerja pada Jumaat.

"Ayuh lihat jika kami boleh menamatkan tahun ini dengan keputusan yang baik."

Dilihat bergelut hampir keseluruhan musim, KIP ketika ini menghuni tangga ke-38 keseluruhan kelas WorldSSP selepas sekadar mengutip 2 mata kejuaraan.

Selepas mengumpul 1 mata pada Perlumbaan 1 di saingan pembukaan di Australia, keputusan sama diulang KIP di Perancis.

Manakala Toba dari Jepun menghuni tangga ke-23 selepas mengumpul keseluruhan 17 mata.

Sebagai info, pasukan PETRONAS MIE Racing Honda menjadi satu-satunya pasukan yang menggunakan jentera Honda CBR600RR di pentas WorldSSP.