KIP Positif Aksi Di Estoril, Azroy Kecewa

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/14/20241 min read

TIADA pungutan mata berjaya diperoleh pelumba WorldSSP negara, Khairul Idham Pawi di Estoril tetapi keputusan yang diperoleh pada Pusingan 11 WSBK 2024 itu boleh dianggap positif.

Selepas menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-18, pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing Honda itu memperbaiki kedudukan dengan melepasi garisan penamat di tangga ke-17 pada Perlumbaan 2.

Dan berpandukan kepada keputusan yang diraih, ia jelas lebih baik berbanding hampir keseluruhan perlumbaan yang sudah dilalui musim ini kecuali pada Perlumbaan 1 di Australia dan Perancis yang menyaksikannnya meraih tempat ke-15.

Justeru, persembahan itu diharap dapat terus diperbaiki menuju perlumbaan penutup tirai di Jerez, Sepanyol minggu ini.

"Kami memperbaiki kepantasan pada Perlumbaan 2, tetapi saya masih mengalami kesukaran membabitkan cengkaman di bahagian belakang," kata pelumba yang dikenali sebagai KIP itu.

"Saya berharap kami boleh memperbaikinya pada pusingan di Jerez. Kami mampu untuk merapatkan jurang dengan kelompok depan tetapi saya dapat rasakan yang masih ada yang perlu dibuat.

"Jadi kita akan lihat apa yang boleh dibuat di Sepanyol."

Sementara itu, pelumba 'wildcard' negara di WorldSSP, Azroy Hakeem mengakui kecewa selepas terpaksa menamatkan Perlumbaan 2 dengan status 'DNF'.

"Ia memang mengecewakan mengenai Perlumbaan 2 kerana saya berdepan dengan masalah teknikal jentera dan tidak dapat meneruskan perlumbaan," katanya.

"Saya kecewa untuk menamatkan perlumbaan dengan cara seperti ini tetapi saya dapat banyak belajar pada minggu ini dan mahu berterima kasih kepada PETRONAS dan MIE Racing atas peluang ini. Saya berharap kami akan bertemu lagi."