KIP Tak Puas Hati Prestasi Di Aragon, Azroy Mohon Maaf

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/30/20241 min read

MINGGU mengecewakan sekali lagi diharungi pelumba WorldSSP negara, Khairul Idham Pawi pada Pusingan 10 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Aragon, Sepanyol.

Memburu keputusan lebih baik selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-21, Perlumbaan 2 ditamatkan pada kedudukan lebih buruk iaitu ke-26 sekalipun pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing Honda itu tampak memiliki kemampuan untuk bersaing pada satu ketika.

"Sejujurnya saya mengharap sesuatu yang lebih baik. Saya melakukan kerja yang baik pada separuh perlumbaan tetapi jurang di antara pelumba depan terlalu besar buat saya untuk melakukan lebih baik pada perlumbaan," kata KIP.

"Terima kasih kepada pasukan atas kerja keras mereka, dan kini kita lihat apa yang kami boleh lakukan pada dua pusingan terakhir nanti."

Sementara itu, pelumba 'wildcard' negara di Aragon, Azroy Hakeem Anuar mengakui aksinya direncatkan dengan kemalangan yang menimpanya.

Justeru, pelumba yang turut beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia itu tampil memohon maaf terutama kepada pasukan dan peminatnya.

"Pertama sekali saya mahu meminta maaf kerana menamatkan minggu ini dengan kemalangan tetapi ada perkara yang positif turut diperoleh kerana kami berjaya mencari pelarasan yang efektif bagi perlumbaan," kata Azroy.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan PETRONAS MIE Racing Honda kerana memberikan saya peluang untuk berlumba secara 'wildcard' di Kejuaraan Superbike Dunia pada minggu ini."