KIP Tamatkan Perlumbaan Terakhir WorldSSP 2024 'Tangan Kosong'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/20/20241 min read

TIADA penamat terbaik diperoleh pelumba negara di WorldSSP, Khairul Idham Pawi pada perlumbaan terakhir kempen WSBK musim ini di Jerez, Sepanyol, hari ini.

Selepas melepasi garisan penamat Perlumbaan 1 di tempat ke-15 dan mengutip satu mata semalam, pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing Honda itu menamatkan Perlumbaan 2 di luar pungutan mata di kedudukan ke-19.

Keputusan menyaksikan pelumba kelahiran Perak itu menamatkan kempennya di WorldSSP musim 2024 tangga ke-37 keseluruhan selepas mengumpul 3 mata kejuaraan.

Begitupun, situasi sebaliknya berlaku kepada rakan sepasukannya dari Jepun, Kaito Toba yang sekali lagi mengutip dua mata selepas melepasi garisan penamat di tempat ke-14.

Apa yang menarik, tiada pelumba Ducati menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan podium dengan perlumbaan dimenangi pelumba Yamaha, Stefano Manzi (Pata Yamaha Ten Kate Racing).

Kedudukan kedua turut dimenangi perlumba Yamaha, Valentin Debise dari pasukan (Evan Bros. WorldSSP Yamaha ) dan melengkapkan podium adalah pelumba MV Agusta, Bo Bendsneyder (MV Agusta Reparto Corse).

Juara dunia WorldSSP, Adrian Huertas (Aruba.it Racing WorldSSP) menamatkan perlumbaan di tempat ke-4.