"SAYA Sudah terlupa bagaimana untuk menunggang jentera Moto2," itu kata pelumba 'wildcard' negara, Khairul Idham Pawi pada penampilan semulanya menggunakan jentera itu di Grand Prix (GP) Malaysia, hari ini.
Sekalipun dikatakan mendapat jentera dengan spesifikasi terbaik daripada pasukan PETRONAS MIE Racing RW, pelumba kelahiran Perak bergelut dan hanya menamatkan kedua-dua sesi latihan bebas di kedudukan tercorot.
Pernah berlumba sepenuh musim di pentas Moto2 pada tahun 2017 hingga 2019, pengalaman itu malangnya tidak dapat dimanfaatkan.
"Saya bergelut khususnya pada sesi sebelah pagi kerana saya sudah terlupa bagaimana untuk menunggang jentera Moto2 selepas sudah tidak lama menunggangnya," katanya.
"Saya rasa seperti pelumba yang baharu menunggang jentera Moto2 sekali lagi.
"Ia tidak bertambah baik pada sesi sebelah petang kerana saya kemudian berdepan isu dengan brek dan klac dan hanya dapat melakukan beberapa pusingan. Jadi saya berharap untuk mencapai lebih banyak kemajuan esok," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelumba wildcard negara, Helmi Azman mengakui lebih selesa dengan jentera tahun ini berbanding tahun lalu.
"Saya mampu untuk mengerahnya dengan lebih kuat," kata Helmi yang melakukan catatan ke-29 terpantas pada kedua-dua sesi.
"Gembira dengan catatan masa yang saya buat kerana saya lebih laju berbanding tahun lalu sekalipun pada sesi pertama. Saya akan bekerja lebih keras dan berharap untuk merapatkan jurang dengan pelumba di hadapan."