KIP Teruja Aksi Di Magny-Cours, Mahu Buru Kutipan Mata

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/5/20241 min read

PELUMBA tunggal negara di kejuaraan WorldSSP, Khairul Idham Pawi mengakui teruja untuk beraksi di Magny-Cours, Perancis bagi Pusingan 8 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 dengan sasaran kembali menghuni kelompok pungutan mata.

Kali terakhir mengutip mata di Pusingan 1 di Australia, tiada keputusan sama dapat dicapai pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing Honda itu sehingga di pusingan 7 di Portugal bulan lalu.

Dikenali sebagai KIP, pelumba kelahiran Perak itu mengakui prestasi yang ditampilkan sebelum ini tidak memuaskan dan berharap untuk memperbaikinya di Perancis serta berharap untuk memanfaatkan sesi ujian yang dibuat di gelanggang sama bulan lalu.

"Rasanya seperti sudah lama kami tidak berlumba jadi pasti bagus untuk kembali berlumba di Perancis, dan ia adalah litar yang baharu," kata bekas pelumba Moto3 dan Moto2 negara itu.

"Kami memperoleh ujian yang positif di Magny-Cours bulan lalu, namun kami tidak pernah berlumba di sana.

"Saya tahu ia akan menjadi medan ujian yang sukar, tetapi saya fikir saya sudah bersedia sebaik yang mungkin," katanya.

Kekal dengan pungutan satu mata ketika rakan sepasukannya dari Jepun, Kaito Toba sudah pun memiliki 12 mata, KIP berkata dia menyasarkan untuk menamatkan aksi di Perancis di kelompok 15 terbaik.

"Sasarannya adalah untuk memperbaiki kedua-duanya perasaan dan keputusan yang lebih baik berbanding di Portimao yang mana saya agak kecederan dengan apa yang kami dapat pada perlumbaan itu," kata KIP.

"Untuk minggu ini saya mahu berada dalam kelompok pungutan mata."

Selepas tujuh pusingan, carta kejuaraan WorldSSP ketika ini diketuai pelumba Ducati, Adrian Huertas dari Sepanyol dengan mengumpul 260 mata diikuti seorang lagi pelumba Ducati, Yari Montella (240 mata) dan pelumba Yamaha, Stefano Manzi ketiga dengan 219 mata.