KITA Belum Lihat Potensi Sebenar Pecco - Claudio Domenicali

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/25/20251 min read

BOS Ducati, Claudio Domenicali mengakui pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia belum menampilkan prestasi terbaiknya dan menjangkakan perubahan akan mula dilihat pada Grand Prix (GP) Qatar.

Bagnaia, yang juga juara dunia MotoGP dua kali memang dijangka berdepan cabaran terbesar dalam kariernya di Ducati apabila juara dunia lapan kali, Marc Marquez menjadi rakan sepasukannya tahun ini.

Ketika ramai yang menjangkakan kedua-duanya akan bersaing sengit sesama sendiri, situasi itu tidak berlaku selepas dua pusingan berlangsung di Thailand dan Argentina.

Tatkala Marquez menjuarai keempat-empat perlumbaan ditawarkan, Bagnaia atau lebih dikenali Pecco menamatkan tiga perlumbaan di tempat ketiga dan ke-4 pada perlumbaan utama di Termas de rio Hondo.

Situasi itu membuatkan Bagnaia mengakui dia masih belum dapat keserasian dengan Ducati GP25.

Dan ketika Marquez tampak cukup kuat di COTA, Domenicali berkata dia percaya Bagnaia berupaya mencipta kebangkitan pada pusingan ke-4 di Qatar.

"Saya fikir Pecco bermula dengan dua perlumbaan yang tidak memihaknya," kata Domenicali memetik laporan GPOne dalam satu majlis membabitkan Ducati, baru-baru ini.

"Dia menamatkan ujian musim sejuk dengan beberapa masalah yang bukan datang daripada kesilapannya, jadi kita tidak dapat melihat potensi sebenarnya.

"Saya yakin kita akan melihatnya, bermula dari beberapa perlumbaan seterusnya, dan sekali pun tidak di Austin, yang juga litar yang amat serasi dengan Marc.

"Tetapi saya fikir kita akan melihat kejuaraan yang berbeza dari Qatar."

Bagnaia menjuarai perlumbaan di Qatar pada musim lalu dan bergelar naib juara pada 2023 malah pernah menjuarai perlumbaan Moto2 di litar berkenaan pada 2018.