KL Destinasi Pilihan Pelancaran MotoGP 2026, Keputusan Di GP Catalan!

Berbanding Melbourne dan Singapura, Kuala Lumpur dilihat pilihan dengan keputusan mengenainya akan diputuskan di GP Catalan pada 5 hingga 7 Oktober ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/27/20251 min read

SELEPAS penganjuran sulung di Bangkok, Thailand pada tahun ini, pelancaran musim baharu MotoGP bagi musim 2026 dijadual akan berlangsung di destinasi berbeza dengan tiga lokasi dilihat menjadi calon dengan Kuala Lumpur (KL) dikatakan mempunyai peluang cerah.

Selain ibu kota Malaysia, turut dicanang adalah Singapura, yang ironinya tidak menganjurkan perlumbaan MotoGP dan di Melbourne, Australia.

Tetapi berbanding dua lokasi itu, KL dilihat pilihan dengan keputusan mengenainya akan diputuskan di GP Catalan pada 5 hingga 7 Oktober ini.

Pemilihan KL sebagai hos akan memberikan kelebihan logistik yang besar, memandangkan sesi ujian pra-musim dijangka akan bermula di Litar Antarabangsa Sepang pada awal Februari, sejurus selepas sesi shakedown.

Jika KL dipilih, sesi ujian kedua berkemungkinan besar akan diadakan sama ada di Thailand (di mana perlumbaan pembuka musim akan berlangsung pada awal Mac) atau sekali lagi di Sepang.

Ini akan membolehkan keseluruhan aktiviti pra-musim tertumpu sepenuhnya di rantau Asia, sekali gus mengurangkan kos dan kerumitan logistik.

Melbourne turut diletakkan sebagai pilihan yang menarik tetapi lebih kompleks. Sekiranya bandaraya Australia itu dipilih, acara pelancaran mungkin akan diadakan di antara dua sesi ujian.

Dan bagi mengelakkan risiko dan komplikasi logistik dalam mengangkut jentera prototaip perlumbaan merentasi jarak jauh dalam tempoh singkat, penganjur mungkin akan menggunakan jentera pameran berbanding jentera perlumbaan sebenar.

Sementara itu, Singapura pula menawarkan daya tarikan komersial dan promosi yang ingin dimanfaatkan oleh Dorna untuk memperluaskan lagi jenama MotoGP di peringkat global.

Kalendar MotoGP 2026, yang akan menampilkan 22 pusingan termasuk kehadiran semula Brazil yang menjadikan keputusan mengenai lokasi pelancaran dan ujian pra-musim ini sebagai agenda terakhir yang perlu diselesaikan.

Sebelum ini, perkara itu dikatakan akan diputuskan ketika GP Austria tetapi tiada keputusan konkrit diperoleh daripada mesyuarat yang dibuat bersama wakil IRTA dam Dorna ketika itu.

Selain perasmian, tarikh dan lokasi ujian pra-musim juga akan ditentukan ketika mesyuarat di Catalan.