KLCC Bertukar Jadi Litar Jalanan, Musim Baharu MotoGP 2026 Dirasmikan!
Hujan lebat yang melanda pada awal petang tidak sedikit pun mematahkan semangat peminat MotoGP bukan saja di Malaysia, malah luar negara dengan lebih 20,000 penonton yang hadir menyaksikan acara penuh gemilang dan unik itu
PELANCARAN
2/7/20261 min read


DERUMAN jentera MotoGP menggegarkan pusat bandar Kuala Lumpur apabila KLCC bertukar menjadi litar jalanan sempena perasmian musim baharu MotoGP 2026 malam ini.
Hujan lebat yang melanda pada awal petang tidak sedikit pun mematahkan semangat peminat sukan permotoran elit dua roda dunia itu dengan lebih 20,000 penonton yang hadir menyaksikan acara penuh gemilang dan unik itu.
Sejumlah 20 pelumba kelas perdana MotoGP mengambil bahagian dalam acara bersejarah ini, termasuk penyandang juara dunia, Marc Marquez.
Bagaimanapun, dua pelumba – Fermin Aldeguer dan Fabio Quartararo – terpaksa berada di kediaman masing-masing susulan kecederaan yang dihadapi.
Kemeriahan jelas terasa apabila deruman jentera mula bergema di hadapan Menara Berkembar Petronas apabila setiap pasukan melengkapkan satu pusingan pendek di sekitar Jalan Ampang yang ditutup kepada kenderaan awam, sebelum diperkenalkan di pentas utama.
Dan kesemua pelumba turut mengucapkan terima kasih atas sambutan hangat daripada peminat Malaysia, meskipun hujan lebat membasahi ibu kota.
Acara pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan wanita tempatan Dolla, DJ terkenal dari Britain Pawsa serta kumpulan muzik antarabangsa The Script dari Ireland.
Pelumba-pelumba dan kesemua pasukan MotoGP berada di Malaysia sepanjang minggu lalu bagi sesi ujian awal dan pramusim rasmi di Litar Antarabangsa Sepang.
Selepas ini, mereka akan ke Buriram pada 21–22 Februari untuk ujian terakhir sebelum musim bermula dengan Grand Prix Thailand pada 27 Februari hingga 1 Mac.
Malaysia sekali lagi akan menjadi tumpuan dunia apabila SIC menjadi tuan rumah Petronas Grand Prix of Malaysia pada 30 Oktober hingga 1 November nanti.

