KOMEN Nak Kembali Guna Ducati GP24 Hanya Salah Faham - Pecco Bagnaia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/27/20251 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia menjelaskan apa yang cuba disampaikan mengenai ingin kembali menggunakan jentera Ducati GP24 sebagai salah faham.

Tidak seperti rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Marc Marquez, Bagnaia mengharungi tempoh sukar selepas dua pusingan MotoGP berlangsung di Thailand dan Argentina.

Ia termasuk kegagalannya untuk berada di podium pada perlumbaan utama di Termas de rio Hondo yang menyaksikannya mengeluarkan komen yang didakwanya memberikan makna yang berbeza.

Menurut Bagnaia, apa yang cuba disampaikan mengenai kata-kata 'Mungkin bermula pada pusingan seterusnya saya akan kembali ke GP24' ketika di Argentina bermaksud dia ingin mendapatkan semula perasaannya bersama jentera itu ketika menunggang GP25.

Malah pelumba kelahiran Itali itu turut menegaskan yang tindakan untuk menukar spesifikasi jentera sebagai mustahil.

"Malangnya, saya tidak begitu bagus dalam menerangkan perkara dalam bahasa Inggeris, mungkin, kerana apa yang saya mahu jelaskan adalah saya mahu kembali mendapat perasaan yang sama dengan Ducati GP24," kata Bagnaia memetik laporan Crash.net.

"Saya tidak mahu bertukar kepada Ducati GP24, juga kerana ia adalah sesuatu yang mustahil.

"Jadi saya tahu yang jentera baharu mempunyai potensi yang lebih baik, Marc menunjukkannya. Jadi saya hanya perlu fokus dan mencari kembali perasaan saya."

Bagnaia turut menjelaskan 'kekurangannya' bersama GP25.

"Selepas menganalisa prestasi, kekurangan saya bersama GP25 adalah ketika memasuki selekoh, kelajuan untuk masuk ke selekoh.

"Ia sebenarnya adalah kekuatan dengan gaya tunggangan saya. Jadi, kami perlu memberi tumpuan kepada perkara ini dan cuba memperbaikinya," kata Bagnaia yang percaya dia mampu untuk laju di COTA berbanding Argentina.