KOMINE Malaysia Lancar Koleksi Musim Bunga/Panas 2026, Bergaya, Keselamatan Pun Ada!
Selaras dengan falsafah utama KOMINE melindungi keselamatan penunggang, koleksi terbaharu ini diperkuatkan dengan teknologi pelindung generasi kedua, ENIGMA G2 yang mendapat pengiktirafan keselamatan tertinggi Kelulusan CE Tahap 2 (CE-Approved Level 2)
PELANCARAN
6/2/20262 min read


PENGEDAR eksklusif jenama kelengkapan motosikal terkemuka KOMINE di Malaysia, Hodaka Motoworld melancarkan Koleksi Musim Bunga dan Panas 2026 yang memfokuskan kepada elemen keselamatan tanpa menghilangkan gaya.
Menariknya, pelancaran koleksi berkenaan dibuat sempena acara Malaysia Bike Show (MBS) 2026 di MAEPS yang baru melabuhkan tirainya, semalam.
Meneruskan falsafah utamanya dalam melindungi keselamatan penunggang, koleksi terbaharu ini diperkuatkan dengan teknologi pelindung generasi kedua, ENIGMA G2 yang mendapat pengiktirafan keselamatan tertinggi Kelulusan CE Tahap 2 (CE-Approved Level 2).
Menurut Komine Malaysia, bersama inovasi pelindung baharu yang mudah dibentuk mengikut kontur badan pemakai untuk keselesaan optimum bersama penggunaan material ringan tembus udara yang memastikan penunggang kekal sejuk serta membolehkan ia cepat kering jika terkena hujan, koleksi baharu ini itu kini lebih praktikal.
4 produk yang dilancarkan adalah:
1. KOMINE JK- 187 ENIGMA G2 Half Mesh Jacket
Jaket jaring (‘mesh’) yang sangat tembus udara. Sejuk di bawah terik matahari, dengan perlindungan tanpa rasa berat.
2. KOMINE JK-186 ENIGMA G2 Full Mesh Jacket / JK-191 ENIGMA G2 Full Mesh Jacket
Jaket untuk penunggang harian, direka khas untuk perjalanan dari rumah ke jalan raya terbuka dan seterusnya ke pejabat – tanpa menjejaskan keselamatan.
3. KOMINE JK-185 ENIGMA G2 Waterproof Urban Parka
Tiada gangguan walaupun hujan mengejut. Ringan, mudah dilipat, sentiasa sedia.
4. KOMINE ENIGMA G2 Protectors
Dipakai di bawah apa-apa pakaian. Perlindungan tidak kelihatan. Dicipta untuk pergerakan mudah.
Selain itu, pihak Komine Malaysia turut mengambil keputusan untuk mengekalkan struktur harga bagi tahun 2026 meskipun berdepan kenaikan kos logistik bagi memastikan lebih ramai penunggang mampu memiliki kelengkapan yang selamat.
Pengarah Perniagaan Luar Negara KOMINE, Michael Chang, berkata produk terbaharu itu direka khusus mengikut iklim cuaca di Malaysia tanpa mengetepikan ciri keselamatan tinggi dan praktikaliti, yang mana kelengkapan KOMINE turut menjadi pilihan rasmi Polis Trafik Jepun.
Pengarah Urusan Hodaka Motoworld, James Lim, menyifatkan komitmen teguh KOMINE terhadap keselamatan sejajar dengan moto syarikatnya iaitu 'Perlindungan Tertinggi Untuk Penunggang', yang menjadi asas kerjasama kukuh mereka sejak tahun 1999.
Dalam pada itu, pihak Hodaka Motoworld turut mendidik pengguna agar menjadi pembeli bijak dengan memahami perbezaan label keselamatan Eropah (CE) pada kelengkapan menunggang yang sering disalah erti di pasaran.
Terdapat perbezaan besar di mana label 'Diuji CE' (diuji oleh kilang sendiri) dan 'Diperakui CE' (hanya sampel tertentu diuji pihak ketiga) tidak setanding dengan tahap 'Diluluskan CE' (CE-Approved) yang digunakan KOMINE, di mana keseluruhan komponen produk melepasi ujian ketat makmal bertauliah.
Sebagai info, koleksi kelengkapan tunggangan KOMINE 2026 kini sedia didapati di rangkaian pengedar sah jenama itu di seluruh negara dengan lokasi jualan boleh disemak menerusi carian 'Store Locator' di laman Facebook rasmi KOMINE Malaysia.



