KOMPONEN Baharu Untuk Ducati Panigale V4R Tiada Banyak Manfaat - Danilo Petrucci

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/2/20251 min read

PELUMBA Barni Spark Racing Ducati, Danilo Petrucci menguji komponen baharu untuk jenteranya Ducati Panigale V4R ketika ujian pra-musim di Algarve, Portugal, baru-baru ini tetapi maklum balas yang diperoleh tidak begitu mengujakan.

Mengulas mengenai komponen baharu yang diperoleh bekas pelumba MotoGP itu iaitu ekzos baharu daripada Ducati - ekzos yang sudah pun digunakan oleh Nicolo Bulega pada musim lalu, Petrucci berkata perbezaannya tidak begitu ketara.

"Bukan perbezaan yang besar," kata Petrucci keapda WorldSBK.com ketika ditanya mengenai eksoz berkenaan. "Ia agak berbeza dari sudut penyaluran kuasa, tetapi pada akhirnya saya tidak dapat merasakan sebarang manfaat.

"Pelumba-pelumba lain sudah menggunakan sejak tahun lalu. Kita akan lihat sama ada ekzos yang akan digunakan, tetapi saya fikir kami akan menggunakan unit yang sama seperti pasukan 'kilang'."

Sedikit mengecewakan buat pelumba-pelumba WorldSBK, ujian di Algarve mirip seperti di Jerez, Sepanyol sebelum ini dari sudut cuaca apabila ia turut 'diganggu' hujan.

"Pada akhirnya ia bukan ujian yang tidak betul-betul berguna, tetapi sekurang-kurangnya kami berpeluang untuk menunggang dalam keadaan yang sukar," kata pelumba kelahiran Itali itu.

Petrucci yang menamatkan kempen musim lalu di kedudukan kelima keseluruhan dan bergelar pelumba pasukan persendirian terbaik berkata dia tidak 'tertekan' menjelang saingan musim baharu.

"Saya agak tenang kerana jentera saya sama seperti tahun lalu, jadi kami tahu pelarasan yang kami perlu gunakan. Kami mempunyai dua hari lagi di Australiam dan dua hari ini amat penting untuk perlumbaan selepas itu."