KONSERT Artis Tempatan, Luar Negara Sempena GP Malaysia 2024

TERKINI

4/3/20241 min read

PENGANJURAN Grand Prix (GP) Malaysia 2024 yang dijadual pada awal November depan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal dimeriahkan dengan penganjuran konsert.

Perkembangan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif dengan konsert berkenaan menjadi sebahagian daripada acara sambutan ulang tahun ke-25 litar ikonik negara berkenaan.

Lebih menarik, konsert berkenaan bukan saja membabitkan artis daripada tanah air, namun antarabangsa.

Begitupun, perincian mengenai senarai artis yang terbabit masih belum diumumkan.

Sebagai info, GP Malaysia 2024 dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 Nov depan.

"Mengenai konsert yang dijadualkan, kami akan mengumumkan senarai artis yang terlibat selepas ini.

"Apapun, kami mengharapkan penganjuran perlumbaan MotoGP GP Malaysia pada tahun ini akan berjalan dengan lancar," kata Shafriman yang ditemui pada Majlis Iftar Ramadan SIC, semalam.

Mengulas mengenai penjualan tiket GP Malaysia 2024, Shafriman berkata sambutan kali ini agak memberangsangkan dengan jualan sejak awal tahun ini mencatat kenaikan tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.