KONTRAK Penganjuran Grand Prix Malaysia Sah Sambung Dua Tahun Lagi

TERKINI

8/20/20241 min read

MALAYSIA akan terus menjadi gelanggang perlumbaan MotoGP sehingga 2026. Itu antara perkembangan menarik yang diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif SIC Petronas, Azhan Shafriman Hanif ketika majlis pelancaran GP Malaysia 2024, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kontrak penganjuran GP Malaysia yang dijadual berakhir pada tahun ini, Shariman berkata pihaknya sudah mendapatkan persetujuan daripada pihak kerajaan mengenai perkara berkenaan.

Begitupun, pengumumannya secara rasmi belum dibuat dengan pihak pengelola MotoGP, Dorna sudah pun dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

"Kita sudah dapat persetujuan penganjuran sehingga 2026 daripada pihak kerajaan," kata Shafriman. "Bermula 2022 hingga 2024, ia adalah bahagian pertama daripada kontrak dan dua tahun berikutnya adalah bahagian kedua dan kita sudah dapat persetujuan.

"Tetapi kita masih belum buat pengumuman. Perkara ini juga sudah disahkan dengan Dorna. Dan memandangkan ada yang bertanya, kita umumkannya di sini."

Mengulas mengenai situasi jualan tiket GP Malaysia 2024 yang berbaki beberapa bulan lagi, Shafriman berkata jualannya ketika ini sudah mencapai tahap 50 peratus dengan sasaran kehadiran penonton yang diletakkan adalah 200,000 penonton.

Dan bagi mencapai sasaran itu, pihak SIC Petronas turut menambah beberapa lagi aktiviti antaranya karnival 'After Race Fest' iaitu konsert selepas perlumbaan yang membabitkan artis antarabangsa dan tempatan.

"Kita mengharapkan tahun ini menjadi lebih bermakna kerana kita turut menyambut tiga ulang tahun secara serentak di Sepang iaitu ulang tahun Petronas (50 tahun), MotoGP (75 tahun) dan SIC (25 tahun)," katanya.

Sebagai rekod, GP Malaysia 2023 mencatat kehadiran penonton seramai 182,912 untuk ketiga-tiga hari dan menariknya, tanpa membabitkan konsert.

Sebagai info, GP Malaysia 2024 yang juga venue kedua terakhir kempen MotoGP 2024 dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 November depan.