KONTROVERSI 2015 Tak Rosakkan Rasa Hormat Jorge Lorenzo Kepada Valentino Rossi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/17/20241 min read

JORGE Lorenzo menegaskan rasa hormatnya terhadap Valentino Rossi tidak pernah pudar disebalik pelbagai kontroversi tercetus membabitkan mereka termasuk pada kempen MotoGP 2015.

Seperti diketahui, Lorenzo dan Rossi berkongsi garaj di Yamaha cukup lama iaitu pada 2008 hingga 2010 dan buat kali kedua pada 2013 hingga 2016.

Tetapi disebalik hubungan sebagai rakan sepasukan, perseteruan kedua-duanya cukup tinggi terutama pada kempen 2015 apabila Rossi menuduh Marc Marquez melakukan komplot untuk menafikan gelaran dunia ke-10 milik legenda Itali itu dengan kemenangan menjadi milik Lorenzo.

Bercakap ketika Festival dello Sport di Italy, minggu lalu, Lorenzo turut menyentuh mengenai kejuaraan dunia terakhir yang diperoleh pada 2015 dan perseteruannya dengan Rossi.

"Ternyata semua orang mempercayai versi Valentino," kata Lorenzo mengenai situasi yang berlaku pada musim itu.

"2015 adalah musim yang 'brutal', segala-galanya berlaku. Kamu perlu berfikir yang secara faktanya saya tidak pernah memimpin perlumbaan secara solo sehingga perlumbaan terakhir.

"Kami berdua memenangi lebih banyak perlumbaan berbanding orang lain. Tetapi terima kasih atas perseteruan kami, kami menjadi lebih laju.

"Hari ini, saya amat menghormatinya.

"Kami semua mendapat manfaat daripada karismanya, kerana dia membenarkan begitu ramai orang untuk menghampiri sukan bermotosikal, membuatkan orang ramai melihat kejuaraan ini."

Lorenzo dalam pada itu turut percaya yang hubungan baiknya dengan seorang lagi legenda Itali, Max Biaggi - yang juga mempunyai hubungan kurang baik dengan Rossi - mengeruhkan hubungannya dengan juara dunia lapan kali itu.

"Max Biaggi adalah idola saya," kata Lorenzo. "Kali pertama saya bertemunya kami bercakap mengenai banyak perkara, termasuk Valentino Rossi.

"Saya dengan pantas memberitahunya yang dia adalah pelumba kegemaran saya. Saya tidak fikir persahabatan saya dengan Max merencatkan hubungan saya dengan Rossi. Jelas apa yang lebih penting adalah kelajuan yang diletakkan di trek."