KONTROVERSI Tak Zip Sut Lumba, Jorge Martin Terlepas Penalti

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/26/20231 min read

PENGEJAR kejuaraan dunia MotoGP 2023, Jorge Martin bernasib baik tidak dikenakan penalti susulan kontroversi yang dilakukannya di GP India iaitu tidak mengetatkan zip sut lumbanya ketika sesi perlumbaan.

Begitpun, dia berjaya untuk mengetatkan kembali zip itu dengan sempurna sekaligus mengelak daripada dikenakan hukuman dan berdepan tindakan seperti diperoleh Fabio Quartararo peroleh pada 2021.

Quartararo pada 2021 di GP Catalunya dikenakan penalti tiga saat selepas menunggang dengan zip sut lumbanya terbuka (dan tidak membetulkannya sehingga penamat) selain turut mengeluarkan pelindung dada.

Tindakan itu kemudian membawa kepada hukuman penalti tiga saat.

Peraturan MotoGP menetapkan kelengkapan keselamatan spesifik 'perlu sentiasa dipakai, diketatkan dengan betul, sepanjang masa ketika aktiviti di dalam trek'.

Dan situasi agak sama dibuat pelumba pasukan Pramac Ducati itu dan jelas dilihat di skrin televisyen apabila zip sut lumbanya jelas tidak dipasang dengan baik ketika penghujung perlumbaan.

Begitupun, Martin dengan pantas sedar dengan kesilapannya dan pelumba kelahiran Sepanyol itu pantas mengetatkan zip sut lumbanya.

Sekalipun kehilangan masa dan hampir dipintas Quartararo, Martin berjaya mengekalkan kedudukannya sebelum melintasi garisan penamat sebagai naib juara.

Mengikut peraturan MotoGP, kelengkapan seperti berikut perlu dipakai dengan sempurna sepanjang masa ketika perlumbaan.

  • Helmet 'Full Face'

  • Sut Lumba Kulit (Penuh)

  • Sarung Tangan Lumba

  • But Lumba

  • Pelindung Belakang

  • Pelindung Dada

Martin yang ketika ini hanya dibezakan 13 mata dengan pendahulu kejuaraan, Francesco Bagnaia sebelum ini mengaku dia sudah berada di 'penghujung' hadnya di GP India.

Jika Martin dikenakan penalti yang sama diperoleh Quartararo pada 2021, dia bukan lagi bergelar naib juara pada perlumbaan utama namun jatuh ke tangga ketiga.