KONVOI SYS Ke SIC Jumpa CKJ Racing, Meriah, Capai Objektif!

TERKINI

6/11/20241 min read

SYS, syarikat pengeluar komponen motosikal terkemuka tempatan menganjurkan aktiviti konvoi bermotosikal ke Litar Antarabangsa Sepang sempena Pusingan 3 Kejuaraan Petronas Cub Prix 2024, baru-baru ini.

Dan seperti boleh dijangka, konvoi berkenaan dianjurkan untuk memberi sokongan kepada pasukan yang turut ditaja SYS iaitu Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing.

Selain SYS, turut bekerjasama untuk menjayakan konvoi berkenaan adalah jenama tayar Swallow dan jenama minyak pelincir asal United Kingdom, Duckhams.

Dengan kekuatan sekitar 30 motosikal pelbagai jenama, konvoi SYS memulakan perjalanan dari Litar Mofaz di Lebuh raya Elite ke Litar Antarabangsa Sepang dan kesemua peserta tiba di SIC dengan selamat.

Di Sepang, antara aktiviti yang dilakukan termasuklah kunjungan ke paddock pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing untuk sesi beramah mesra dan bergambar bersama pelumba dan krew pasukan.

Turut menyambut peserta konvoi adalah Prinsipal dan pemilik pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Che Ku Jonaidi Che Ku Sin.

Selain itu, ketika berada di paddock, peserta konvoi turut menyertai aktiviti pasukan-pasukan yang bertanding sebelum mengisi ruang 'Grand Stand' bagi menyaksikan perlumbaan.

Menurut wakil SYS, konvoi berkenaan dianjurkan sebagai salah satu usahanya meningkatkan lagi kesedaran terhadap jenama SYS yang sudah lama bertapak di Malaysia dengan komponen dikeluarkan syarikat itu turut digunakan di arena perlumbaan. Dan untuk penganjuran pertamanya, ia boleh dianggap satu kejayaan.

Apa yang menarik, pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing - yang menggunakan komponen seperti plat klac SYS turut meraih kemenangan dalam kategori utama CP150 menerusi Ahmad Afif Amran.

Selain itu, kemenangan dalam kelas CP125 turut diraih Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing menerusi Md Firdaus Md Hamdan.

Sebagai info, selain konvoi SYS Ke Litar Antarabangsa Sepang, penganjur turut menyatakan aktiviti berkenaan berkemungkinan besar akan diteruskan selepas ini.