KOS Anjur MotoGP RM 53.2 juta, F1 RM 228 juta - KBS
SUKAN PERMOTORAN 2 RODASUKAN PERMOTORAN 4 RODA
3/21/20241 min read
PERBELANJAAN sekitar RM 53.2 juta diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Malaysia, jauh lebih rendah berbanding perlumbaan Formula 1 (F1) atau Formula E.
Informasi berkenaan diperoleh berdasarkan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2023 Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, semalam oleh Menteri, Hannah Yeoh.
Menurut Hannah, penganjuran F1 memakan kos yang jauh lebih tinggi berbanding MotoGP iaitu sekitar RM 228 juta.
Dan sekalipun tiada maklumat terperinci bagi penganjuran perlumbaan Formula E, tetapi ia dikatakan membabitkan kos dua kali ganda berbanding MotoGP iaitu RM 120 juta.
"Walaupun semua orang mengatakan penganjuran ini bagus, penganjuran itu bagus, tetapi kita kena tengok kemampuan dan minat rakyat terhadap sukan berkenaan," kata Hannah memetik laporan BHarian.
"Kenapa MotoGP? Seperti saya katakan, 182,000 pengunjung akan datang dan Litar Antarabangsa (Petronas) Sepang memerlukan acara MotoGP ini.
Turut diperkatakan oleh Hannah adalah terdapat pihak membida dan cuba mendapatkan hak penganjuran perlumbaan F1 tanpa pengetahuan pihak kerajaan.
"Selepas bida, mereka datang berjumpa dan kata kita sudah dapat bidaan dan nak duit untuk anjurkan (F1)," katanya.
Justeru katanya, ia tidak adil untuk kerajaan jika ada pihak melakukan bidaan tanpa mendapatkan kelulusan kerajaan terlebih dulu.
Sebagai info, kali terakhir F1 dianjurkan di Malaysia adalah pada 2017 yang juga edisi ke-19 perlumbaan berprestij empat roda itu di Sepang sejak kali pertama penganjurannya pada 1999.