KOVE 450R (2025), 'Naked Bike' 4 Silinder Sebaris Tiba Di Malaysia, RM 34k!
Apa yang lebih menarik, Malaysia dikatakan menjadi pasaran kedua di dunia untuk model KOVE 450R (2025) yang kelajuan tertingginya dikatakan boleh dikerah sehingga 205 km/j selepas negara pengeluar China
PELANCARAN
10/6/20251 min read


KOVE Moto Malaysia menghangatkan pasaran motosikal 'Naked Bike' tempatan apabila melancarkan jagoannya yang boleh dikatakan menarik, KOVE 450R (2025), hari ini.
Bukan sekadar 'Naked bike' 'biasa-biasa', KOVE 450R (2025) yang tampil dengan penampilan garang 'streetfighter' ini dijana enjin 4 Silinder Sebaris dan dijual pada tanda harga RM 33,888.
Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendfataran, cukai jalan dan insuran.
Apa yang lebih menarik, Malaysia dikatakan menjadi pasaran kedua motosikal berkenaan dilancarkan selepas negara pengeluar China.
Ulas trenkuasa, KOVE 450R (2025) dijana enjin bersesaran 443 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 65.3 Hp pada 12,000 rpm dan tork 40 Nm pada 9,000 rpm.
Berinspirasikan dunia perlumbaan, KOVE 450R dibina dengan kerangka ringan dan hanya memiliki berat 164 kg dan kelajuan maksimumnya menurut syarikat itu boleh dikerah sehingga 205 km/j.
Dengan ketinggian tempat pelana 800 mm dan jarak lega bumi 130 mm, dimensi KOVE 450R (2025) yang seakan motosikal 250 cc membuatkannya cukup mudah untuk dikendalikan.
Antara ciri utama yang ditawarkan termasuklah:
Panel TFT berwarna
Fork jenis terbalik (USD), penyerap hentak tunggal (belakang)
Sistem brek cakera berkembar hadapan dengan ABS Dwi-Saluran
Ada mod kawalan lonjakan (Launch Control Mode)
Klac jenis ‘Slipper’ untuk kawalan lebih lancar ketika menurunkan gear
Dua mod tunggangan - Sport dan Comfort
Set roda 120/70-17 (depan), 160/60-17 (belakang)
Tangki bahan api 17 liter
Sistem lampu LED penuh
Dua pilihan warna tersedia iaitu Black dan Orange.
Sebagai info, hak pengedaran tunggal dan eksklusif Kove di Malaysia adalah menerusi MDua Motor Sdn Bhd yang juga anak syarikat AFY Mobility Industries (AMI). KOVE 450R (2025) sudah mula dipamerkan di AMI Bumirai Showroom di Petaling Jaya.
















