KOVE Malaysia Sedia Hadapi AXCR 2024, Pencabar Tunggal Dari Malaysia!
BERITA
8/8/20241 min read


KOVE Malaysia tampak sudah bersedia menghadapi penampilan sulungnya di pentas perlumbaan lasak berprestij Asia Cross Country Rally (AXCR) 2024 yang dijadual berlangsung di Thailand, minggu depan.
Apa yang menarik, pasukan yang dihantar iaitu KOVE Malaysia Racing Team adalah wakil tunggal negara yang beraksi di perlumbaan yang turut mendapat sanksi Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) itu.
Memacu KOVE Malaysia Racing Team adalah pelumba lasak berpengalaman negara Hazim Hayazi yang akan menunggang jentera Kove 450 Rally.
Kepada yang tak tahu, Hazim sememangnya tidak asing dalam arena perlumbaan lasak terutama 'off-road' di Malaysia dan sudah mencapai pelbagai kejayaan dalam dan luar negara.
Antaranya kejayaan yang pernah dilakar adalah seperti berikut:
Juara Kelas-C di GIVI Rimba Raid 2023
Juara ‘King of Royal Rumble’ dalam Royal Rumble Hard Enduro Rider 2023
Tempat ketiga keseluruhan di WRC Orange Enduro 2023 dalam Kategori Terbuka
Tempat keempat dalam Kelas C di Gamuda Gardens Advenduro-X 2024
Di Thailand, Hazim akan dibantu dua juruteknik berpengalaman dari bahagian teknikal dan logistik KOVE Racing Team yang memiliki pengalaman luas di pentas global.
Dan jentera KOVE 450 Rally turut dilengkapi dengan pelbagai ciri canggih antaranya sistem navigasi ‘roadbook’ serta kit perlumbaan yang mirip perlumbaan Dakar-Rally.
Sebagai info, KOVE Malaysia Racing Team adalah pasukan perlumbaan lasak baru ditubuhkan yang
diinspirasikan oleh kejayaan cemerlang pasukan prinsipal perlumbaan KOVE yang berjaya menguasai peringkat motosikal rali di kejohanan Taklimakan Rally di China.
Menurut Kove Malaysia, pembabitan mereka di AXCR 2024 membuktikan kesugguhan serta komitmen syarikat itu terhadap kemampuan, ketahanan dan prestasi motosikal keluaran Kove terutama dalam segmen lasak.
Menurut syarikat itu, mereka berhasrat untuk menggunakan AXCR 2024 sebagai medan ujian bagi membuktikan keupayaan luar biasa KOVE 450 Rally.
Justeru, sasaran yang diletakkan bukan sahaja untuk hanya menamatkan perlumbaan namun turut mengintai peluang untuk memenangi beberapa pusingan yang berlangsung.
Secara keseluruhan, AXCR 2024 merangkumi jarak perlumbaan lebih 2,000 kilometer mengharungi laluan kawasan terpencil menggunakan dari Surat Thani ke Kanchanaburi.
Ia dijadual berlangsung selama enam hari bermula daripada 12 hingga 17 Ogos 2024.














