KOVE Moto Kini Rasmi di Malaysia
Selepas beberapa kali kelibat model-model daripada KOVE Moto ditayangkan di pelbagai acara, jenama motosikal berprestasi dari China itu akhirnya dirasmikan pada hari ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/6/20251 min read


PENANTIAN peminat dua roda terhadap kehadiran rasmi jenama motosikal berprestasi dari China, KOVE Moto, akhirnya dinoktahkan apabila ia diumumkan secara rasmi memasuki pasaran Malaysia, hari ini.
MDua Motor Sdn Bhd, anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI) dilantik sebagai Pengedar Tunggal dan Eksklusif KOVE di Malaysia.
Setakat ini, model-model KOVE ditawarkan sebagai unit CBU (Completely Built-Up).
Tetapi kerjasama strategik antara MDua Motor dan AMI turut membuka peluang kepada pemasangan tempatan (CKD) pada masa hadapan.
Menurut MDua, langkah ini dijangka meningkatkan akses kepada bekalan alat ganti, memperkukuh perkhidmatan selepas jualan, serta menjamin kualiti mengikut piawaian global KOVE.
Sebagai permulaan, KOVE, yang semakin mencipta nama di peringkat global, memperkenalkan dua model baharu untuk pasaran Malaysia iaitu KOVE 800X GT bagi segmen kembara dan KOVE 450R untuk segmen jalanan ‘streetfighter’.
Kedua-dua model ini melengkapkan penawaran sedia ada seperti KOVE 450 Rally yang sebelum ini diperkenalkan secara terhad tanpa pelancaran rasmi.
Sebagai info, KOVE Motor ditubuhkan pada tahun 2017 oleh seorang pelumba profesional di China serta aspirasi terhadap dunia perlumbaan dan kejuruteraan motosikal berprestasi tinggi.
Berpegang kepada falsafah “Focus on Performance”, jenama ini menekankan pembangunan teknologi secara tersendiri, hasil gabungan R&D, reka bentuk dan pembuatan yang diyakini.
Menurut KOVE Moto Malaysia, model-model janama itu direka dengan spesifikasi ringan, kukuh dan berkeupayaan tinggi untuk terus ke arena perlumbaan.
