KPI Alvaro Bautista Di GP Malaysia - Samai Pencapaian Dani Pedrosa Di Misano

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/13/20231 min read

ALVARO Bautista akur yang keputusan mantap diraih pelumba ujian KTM, Dani Pedrosa ketika beraksi dengan tiket 'wildcard' di Grand Prix San Marino meningkatkan tekanan di bahunya menjelang GP Malaysia 2023.

Bintang Ducati itu meraih tiket wildcard di GP Malaysia selepas menjuarai gelaran dunia WSBK pada tahun 2022.

Dan selepas keputusan hebat yang diraih Pedrosa - tempat keempat pada kedua-dua perlumbaan - Sprint dan Utama jelas meningkatkan tekanan kepada Bautista yang juga bekas pelumba MotoGP.

Sedang memimpin kejuaraan dunia WorldSBK 2023, Bautista boleh mengurangkan tekanannya dengan mengesahkan gelaran dunia kedua berturut-turut sebelum beraksi di Malaysia.

Mengulas mengenai prestasi Pedrosa di Misano, Bautista mengaku dia tidak melihat perlumbaan itu tetapi gembira yang keputusan itu membuktikan tahap pelumba segenerasinya masih tinggi.

"Sekalipun bersaing dengan pelumba-pelumba muda, dia memberikan tekanan. Ayuh kita lihat apa yang berlaku di Sepang nanti," kata Bautista.

"Ketika ini, tekanan lebih kepada saya kerana saya perlu melakukan apa yang dia lakukan. Saya gembira kerana dia lelaki yang baik dan juga pelumba yang hebat."

Berbaki tiga lagi pusingan perlumbaan WorldSBK 2023, Bautista ketika ini memimpim kejuaraan dunia dengan mengumpul keseluruhan 467 mata dan deekori rapat pencabar utamanya, Toprak Razgatlıoglu (Yamaha) yang mengumpul 410 mata.

Ketika perlumbaan GP Malaysia dijadual pada 10 hingga 12 November depan, perlumbaan terakhir WSBK 2023 dijadual berakhir pada 27 hingga 29 Oktober di Jerez, Sepanyol.