KRUISER 'Auto', Voge CU625 Automatic (2026) Dirasmikan Di China, Harga Tak Sampai RM 20k!

Pelancaran Voge CU625 Automatic bukan saja menambah variasi dalam segmen motosikal kruiser automatik bersesaran pertengahan yang kian popular, tetapi turut memperkukuh kedudukan Voge dalam pasaran yang semakin berkembang

TERKINI

1/22/20261 min read

PERSAINGAN dalam segmen kruiser 'auto' makin hangat apabila Voge secara rasmi melancarkan penawarannya yang dipadankan dengan transmisi automatik, Voge CU625 Automatic untuk pasaran China, dengan harga promosi RMB 26,980 (sekitar RM 17,800).

Tetapi angka harga RMB 26,980 yang diumumkan itu adalah promosi sehingga 28 Februari 2026 dengan harga asal model ini ialah RMB 27,980.

Pelancaran Voge CU625 Automatic bukan saja menambah variasi dalam segmen motosikal kruiser automatik bersesaran pertengahan yang kian popular, tetapi turut memperkukuh kedudukan Voge dalam pasaran yang semakin berkembang.

Di bahagian trenkuasa, Voge CU625 Automatic dilengkapi enjin KEV600 V-twin dengan sesaran enjin 578 cc, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api,

Kuasa padaangkat 45 kW pada 8,500 rpm dan tork 61 Nm pada 5,500 rpm.

Reka bentuknya tipikal kruiser tidak berubah berbanding Voge CU625 'standard'.

Voge menjelaskan tarikan utama Voge CU625 Automatic ialah sistem transmisi automatik (AMT) yang canggih selain sistem 'creeping' yang membolehkan motosikal bergerak perlahan secara stabil tanpa perlu kerap membrek yang memudahkan penggunaan di kawasan bandar yang sesak.

Dengan seni bina dwi-unit kawalan, membolehkan ECU dan TCU berkoordinasi secara masa nyata dengan masa tindak balas penukaran gear hanya 120 milisaat, dengan julat rpm disesuaikan khusus untuk enjin bersesaran besar.

Dari segi keselamatan, sistem akan mengunci gear apabila sudut condongan melebihi 20 darjah, dengan masa tindak balas hanya 0.05 saat, meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh.

Tiga mod tunggangan tersedia iaitu:

  • D (Normal) – tunggangan santai automatik.

  • DS (Sport) – penukaran gear lebih agresif untuk pecutan lebih kuat.

  • M (Manual) – kawalan penuh melalui paddle shifters.

Selain itu, Voge CU625 Automatic dilengkapi panel meter TFT definisi tinggi, lampu utama automatik, sistem pemantauan tekanan tayar masa nyata, serta pengurusan haba yang lebih baik dengan pengurangan suhu sekitar kaki sehingga 25 darjah selsius.

Turut dipertingkatkan adalah sistem suspensi yang didakwa bagi mengurangkan getaran dan meningkatkan keselesaan jarak jauh.