KRUISER Cyclone RA600 (2026) Dirasmikan, RM 25,888!

Persaingan dalam segmen kruiser aras tengah semakin meriah apabila Cyclone Malaysia melancarkan Cyclone RA600 (2026), motosikal yang dikatakan menggabungkan karakter klasik dengan teknologi moden

PELANCARAN

2/1/20261 min read

CYCLONE Malaysia seperti dijangka memperkenal model terbaharunya yang memeriahkan persaingan dalam segmen kruiser aras tengah, Cyclone RA600 (2026), motosikal yang dikatakan menggabungkan karakter klasik dengan teknologi moden.

Tampil dengan rekaan model, Cyclone RA600 (2026) diumumkan pada harga bermula RM 25,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Dua pilihan warna tersedia iaitu Strong Grey dan Prestige Black.

Ulas trenkuasa, Cyclone RA600 (2026) dipadankan dengan enjin 550.4 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa berada pada angka 43.5 kW @ 8,500 rpm dan tork 55 N.m @ 6,500 rpm.

Menggunakan pacuan akhir tali sawat, Cyclone RA600 (2026) yang dikatakan direka untuk keselesaan dan kebolehpercayaan menawarkan tunggangan yang halus dan selesa.

Sistem suspensi depan menggunakan fork teleskopik yang memiliki penutup untuk penampilan lebih estatik dan penyerap hentak belakang tunggal.

Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan/belakang) dan lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 saluran.

Selain rekaan yang bergaya, Cyclone RA600 (2026) turut menampilkan pelbagai ciri moden termasuk paparan meter TFT berbentuk bulat, lampu LED penuh dengan DRL, Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS) dan port pengecasan USB Type-A.

Bagi meningkatkan keselesaan, ia turut memiliki sistem keselamatan tongkat sisi, penyandar tempat duduk belakang dan ekzos berkembar kiri dan kanan.

Seperti motosikal moden lain, sistem Kawalan Traksi (TCS) memiliki ciri nyahaktif dan dilengkapi dengan sistem kunci mekanikal.

Panel meter Cyclone RA600 turut dilengkapi dengan ciri sambungan ke telefon pintar menerusi Bluetooth yang turut menyokong aplikasi pihak ketiga Carbit Ride, membolehkan navigasi, paparan skrin dan notifikasi panggilan terus pada meter dan serasi dengan peranti Android dan iPhone.

Info lain:

  • Tangki bahan api 14.5 liter

  • Set roda: 130/90-16 (depan), 150/80-16 (belakang)

  • Tinggi pelana 725 mm

  • Lega bumi 150 mm

  • Berat 198 kg

Menurut MForce Bike, Cyclone RA600 sudah boleh didapati di semua pengedar sah MForce di seluruh negara dengan jaminan pengeluar selama dua tahun dengan perbatuan tanpa had, serta akses kepada alat ganti tulen secara dalam talian melalui platform perkhidmatan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.