KTM 1390 SUPER DUKE R (2024) Buat Debut Global, Lebih 'Alien', Ganas 187 Hp!

TERKINI

11/29/20231 min read

SEMPENA sambutan ulang tahun ke-30 model 'Naked' Duke, syarikat pengeluar motosikal gergasi Austria, KTM memperkenalkan model paling 'hardcore' barisan pengeluarannya menggunakan nama ikonik itu - KTM 1390 SUPER DUKE R (2024).

Terkenal sebagai model yang cukup berkuasa, agresif dan memiliki reka bentuk yang cukup 'ganas', KTM 1390 Super Duke (2024) memiliki segala-galanya bagi menggambar 'Duke'.

Dimulakan dengan trenkuasa, enjin LC8 KTM 1390 Super Duke (2024) kini bersesaran 1,350 cc, 2 Silinder menggantikan trenkuasa 1,301 cc yang digunakan di KYM 1290 Super Duke sebelum ini.

Dan dengan perubahan dan naik taraf berkenaan, motosikal aras tinggi itu menghamburkan lebih kuasa iaitu 187 Hp dan tork 145 Nm.

Dari sudut 'paras rupa', KTM 1390 Super Duke (2024) mengalami perubahan yang boleh dianggap revolusi.

KTM berkata, rekaan unit lampu depan yang serba unik - terdedah tanpa pelindung - sebenarnya disepadukan dengan rekaan keseluruhan motosikal itu seperti rekaan tangki bahan api dan 'Sayap' aero.

Secara keseluruhan, rekaan KTM 1390 Super Duke (2024) sememangnya cukup garang dan seperti memberi 'amaran' kepada pesaingnya mengenai kemampuan KTM dari sudut berkenaan.

Pembaharuan yang lain termasuklah dari sudut kapasiti tangki bahan api yang kini 17.5 liter dengan KTM mendakwa membenarkan motosikal itu bergerak sehingga 300 km - sesuatu yang cukup tak sinonim dengan model 'Naked'.

Untuk mencapai standard emisi Euro5+, KTM berkata enjin KTM 1390 Super Duke (2024) turut menggunakan 'cam' dan 'head' silinder yang baharu dan di bahagian suspensi, ia menggunakan jenama WP dengan ciri pelarasan penuh.

Turut mengalami kemas kini adalah di bahagian elektronik untuk mod 'Performance' dan 'Track'.

Dan seperti kebiasaan, kehadiran KTM 1390 Super Duke (2024) akan disusuli dengan ketibaan varian yang lebih 'hardcore', KTM 1390 Super Duke R Evo (2024) tahun depan.

Tipikal varian 'Evo', tiada perubahan dari sudut spesifikasi trenkuasa atau rekaan namun naik taraf yang diperoleh adalah dari sudut suspensi (semi aktif).

Seperti biasa, KTM 1390 Super Duke R (2024) datang dengan dua skema warna iaitu warna asli jingga KTM selain hitam yang turut disepadukan dengan warna jingga.

Tetapi sedikit mengecewakan, KTM tidak mengumumkan tarikh tepat bila KTM 1390 Super Duke (2024) akan mula berada di pasaran.