KTM 390 Duke (2024) Buat Debut Global, 'Gen' Ketiga, Trenkuasa Baharu 42.9 Hp, 37 Nm, Lagi 'Kacak'!
TERKINI
8/22/20231 min read
SYARIKAT pengeluar motosikal gergasi Austria, KTM melancarkan model generasi terbaharu dan ketiga KTM 390 Duke (2024), hari ini yang bukan saja mendapat naik taraf cukup besar dari sudut rekaan, malah trenkuasa.
Sebagai model generasi baharu, KTM 390 Duke (2024) dari sudut rekaan mengekalkan tema 'Sporty' dan agresif namun perubahan rekaan terutama lampu depan membuatkannya tampak lebih 'alien' dan penting, makin 'hensem'.
Turut berubah adalah rekaan tangki bahan api dan bahagian sisi motosikal berkenaan berikutan ia turut didatangkan dengan kerangka atau 'casis' trellis baharu.
Dan dengan segala perubahan terbaharu itu, yang turut terpalit di bahagian pelana dan 'subframe', KTM 390 Duke (2024) datang dengan penampilan lebih besar berbanding sebelum ini.
Bagi model tahun 2024 juga, KTM 390 Duke yang memiliki berat 165 kg (kering) dipadankan dengan enjin serba baharu bersesaran 399 cc. Ia menggantikan enjin sebelum ini yang bersesaran 373 cc.
Dengan perubahan itu, kuasa yang dihasilkan oleh KTM 390 Duke (2024) meningkat iaitu 44 Hp dan tork 39 Nm berbanding 42.9 Hp dan tork 37 Nm bagi versi terdahulu.
Turut baharu adalah panel meter TFT berwarna bersaiz 5 inci yang kini tampil dengan ciri lebih moden dan mengikuti kehendak semasa. Kekal dengan konektiviti telefon pintar, ia kini turut menawarkan ciri ‘turn-by-turn navigation'.
Selain itu, ciri elektronik KTM 390 Duke (2024) turut dipertingkatkan. Paling menarik dalam pakej terbaharu pastinya ciri ‘launch control’ selain tiga mod menunggang (Rain, Street dan Track).
Seperti model terdahulu, KTM turut mengekalkan ciri seperti klac 'Slipper', 'bi-directional quick shifter' dan sistem suspensi 6 kelajuan klac manual.
Sistem suspensi kekal dengan fork jenis terbalik (USD) WP boleh laras penuh dan penyerap hentak belakang tunggal juga dengan pelarasan (preload).
Sistem brek kekal dengan cakera tunggal (depan, belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan turut menawarkan ciri seperti cornering ABS dan Supermoto ABS.