KTM 450 Rally Replica (2026) Diumumkan, Enjin Baharu, Lagi Ringan, Terhad 150 Unit!

Syarikat pengeluar motosikal Austria, KTM baru-baru ini memperkenalkan motosikal yang dilabel jentera 'off-road terhebatnya' KTM 450 Rally Replica (2026) untuk meraikan kejayaan di perlumbaan Rali Dakar

TERKINI

6/12/20252 min read

SEBAGAI antara cara untuk meraikan kejayaan di perlumbaan Rali Dakar, syarikat pengeluar motosikal Austria, KTM baru-baru ini memperkenalkan motosikal yang dilabel jentera 'off-road terhebatnya' KTM 450 Rally Replica (2026).

Seperti versi sebelum ini, hanya 150 unit KTM 450 Rally Replica (2026) dihasilkan oleh KTM dan ia cukup mirip jentera yang digunakan pengeluar itu di perlumbaan Rali Dakar sebenar.

Sebagai jentera 'lumba', motosikal ini bukan saja mampu meredah, tetapi menakluk pelbagai laluan tidak kira berbatu, pasir dan trek 'off-road' berkelajuan tinggi dengan cemerlang.

Seperti versi terdahulu, KTM 450 Rally Replica (2026) sekali lagi tampil dengan cowl lutsinar yang turut bertindak sebagai visor angin, serta lampu LED yang diposisi menegak bagi meningkatkan penglihatan dalam pelbagai kondisi perlumbaan.

Antara naik taraf yang dilakukan kepada KTM 450 Rally Replica (2026) adalah membabitkan enjin, sistem suspensi baharu dan lebih ringan menerusi penggunaan komponen gentian karbon.

Untuk trenkuasa, KTM 450 Rally Replica (2026) dipadankan dengan enjin bersesaran 450 cc, 1 Silinder, Suntikan Bahan Api, SOHC bersama kotak gear enam kelajuan.

Setakat ini, tiada angka kuasa dan tork didedahkan tetapi KTM mengesahkan ia kini lebih cekap dengan sistem penyejukan dinaik taraf menerusi kehadiran radiator berkembar.

Bagi memastikan nisbah kuasa-berat terbaik, KTM memasang sistem ekzos titanium Akrapovic yang bukan sahaja meningkatkan prestasi tetapi turut mengurangkan berat keseluruhan motosikal berkenaan.

Berita baik untuk kaki enduran, KTM 450 Rally Replica (2026) memiliki tiga tangki bahan api (dua di bahagian hadapan, satu di bahagian belakang) yang memberikan kapasiti keseluruhan 34.5 liter.

Dan untuk keselesaan penunggang pula, rekaan fairing aerodinamik diubah dengan tujuan mengurangkan kesan seretan angin dan keletihan semasa menunggang.

Bagi memastikan kawalan maksimum, KTM melengkapkan KTM 450 Rally Replica (2026) dengan brek cakera bersaiz 300 mm (depan) dan 240 mm di belakang.

Turut dipertingkatkan adalah sistem suspensi yang kini menggunakan WP XACT Pro closed-cartridge forks 48 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri pelarasan penuh dan ditala khas untuk perlumbaan jarak jauh.

Kepada yang merasakan KTM 450 Rally Replica (2026) tak cukup istimewa, KTM juga akan melancarkan lima unit 'ultra eksklusif' edisi Sanders sebagai penghargaan kepada pemenang Rali Dakar, Daniel Sanders.

Apa yang menariknya, KTM 450 Rally Replica Sanders Edition akan tampil dengan liveri pasukan 'kilang' Red Bull KTM, jersi perlumbaan Sanders, pakej VIP yang termasuk penyertaan dalam rali dan berlumba bersama pelumba itu di KTM Europe Adventure Rally di Romania pada Ogos depan.

Dan setiap satu unit akan diserahkan sendiri oleh Sanders.