KTM 890 SMT (2024) Tiba Di Malaysia, Pertama Di Asean, RM 101.8k!

PELANCARAN

1/6/20242 min read

KTM Malaysia, hari ini melancarkan motosikal yang diposisikan dalam segmen unik 'Supermoto touring', KTM 890 SMT (2024) yang menyaksikan Malaysia turut menjadi destinasi pertama model berkenaan di rantau Asia Tenggara.

Membawa nama SMT yang ikonik buat pengeluar motosikal dari Austria itu, harga jualan asas yang diumumkan untuk KTM 890 SMT (2024) adalah RM 101,800.

Sebagai info, KTM 890 SMT (2024) adalah model yang dihasilkan dengan menggandingkan keseronokan lasak 'Supermoto' dengan aktiviti penjelajahan atau 'Touring'.

Justeru, ia mempunyai gabungan karakter seperti sebuah motosikal 'Adventure' dan prestasi seperti sebuah 'Duke' yang juga model motosikal 'Naked' jenama itu.

Tiba pada harga yang lebih tinggi berbanding model-model KTM yang menggunakan nama '890' di pasaran, KTM 890 SMT (2024) begitupun datang dengan pelbagai ciri dan komponen premium termasuk kelengkapan elektronik yang lengkap.

Antara yang menarik adalah kelengkapan elektronik yang tersedia sebagai opsyen di pasaran global kini tersedia sepenuhnya dengan harga berkenaan. Antaranya adalah Quickshifter+, 'Cruise Control' atau Kawalan Jelajah, Motor Slip Regulation (MSR) dan pemanas bar hendal.

Mengulas ringkas rekaan KTM 890 SMT (2024), ia tampil dengan elemen lebih aerodinamik, garang berbanding satu lagi model 'bersaudara', KTM 890 Adventure dan paling ketara adalah menerusi penggunaan tangki bahan api lebih langsing.

Selain itu, ia menggunakan rekaan pelana 'single piece' yang menjadi 'trademark' bagi segmen lasak selain visor angin rendah dan ‘splash guard’ yang diposisi pada fork depan.

Di bahagian trenkuasa, KTM 890 SMT (2024) dijana enjin LC8c bersesaran 889 cc, Parallel-twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan.

Dan tidak seperti KTM 890 Adventure, trenkuasa KTM 890 SMT (2024) ditala semula untuk menghasilkan kuasa dan tork yang lebih tinggi iaitu 105 Hp pada 8,000 rpm dan tork 73.7 Nm pada 6,500 rpm.

Untuk meningkatkan keselesaan, posisi bar hendal juga datang dengan ciri boleh laras (6 tetapan).

Di bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan fork jenis terbalik (USD) jenama WP APEX dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan jenama sama lengkap dengan ciri pelarasan penuh.

Sistem brek menggunakan cakera berkembar bersaiz 330 mm dengan kaliper 4 piston (depan) dan cakera tunggal 260 mm bersama kaliper 2 piston.

Di bahagian elektronik, KTM 890 SMT (2024) tersedia dengan empat mod tunggangan (Street, Sport, Rain, Track), Sistem Kawalan Traksi (10 tetapan), dan sistem Cornering Motorcycle Traction Control (MTC) yang mengawal tahap kecondongan motosikal di jalan raya/litar.

Informasi lain adalah seperti jarak lega bumi 180 mm, ketinggian pelana 858 mm, panel meter menggunakan jenis TFT 5-inci berwarna dan set roda 120/70-17 (depan) dan 180/55-17 (belakang).

Kepada yang berminat, anda perlu cepat kerana KTM Malaysia menjelaskan hanya lapan unit diperuntukkan untuk pasaran Malaysia dan dengan unit terhad itu, ia dijangka akan cepat 'lenyap' daripada bilik pameran.