KTM 990 RC R Rasmi Di Malaysia, Sportbike DNA MotoGP, RM 113k!
Model berprestasi tinggi KTM 990 RC R seperti diketahui sarat dengan DNA jentera perlumbaan MotoGP KTM RC 16 dan ia dibuktikan menerusi padanan sayap aerodinamik bersepadu yang sudah pun diuji di terowong angin serta teknologi termaju
PELANCARAN
10/23/20261 min read


PENGIMPORT dan pengedar rasmi jenama motosikal KTM di Malaysia, Eurotech Group (ETG) secara rasminya melancarkan model Supersport yang dinanti-nantikan, KTM 990 RC R untuk pasaran tempatan.
Diumumkan pada harga jualan asas RM 113,000, model generasi baharu ini dibangunkan KTM khusus untuk membawa keterujaan jentera MotoGP di litar ke jalanan, dengan status homologasi jalan raya yang sah.
Paling mencuri tumpuan, model berprestasi tinggi ini sarat dengan DNA jentera perlumbaan kelas perdana MotoGP, KTM RC 16 dan dibuktikan menerusi padanan sayap aerodinamik bersepadu yang sudah pun diuji di terowong angin.
Menurut KTM, teknologi aerodinamik itu mampu menjana 'downforce' sehingga 14.4 kg pada kelajuan 252 km/j sekali gus mengoptimumkan kestabilan bahagian hadapan jentera ketika memecut laju.
Dari aspek nadi kuasa, KTM 990 RC R dikuasakan oleh enjin LC8c 947 cc, 2 Silinder Sebaris yang berupaya menghamburkan kuasa 127.84 PS dengan tork puncak mencecah 103 Nm.
Bagi memberikan kawalan dan pengalaman tunggangan yang disesuaikan dengan penunggang, ia dilengkapi skrin sentuh TFT bersaiz 8.8 inci melintang berserta 4 mod tunggangan iaitu Street, Rain, Sport dan Custom.
Ciri-ciri premium lain yang didatangkan secara standard termasuklah sistem suspensi boleh laras sepenuhnya WP APEX, angkup brek empat omboh Brembo HyPure, unit ukuran inersia (IMU) 6-dimensi, serta sistem ABS Selekoh dengan empat mod pilihan.
Dari segi penyelenggaraan, model ini menawarkan selang penyelenggaraan kelegaan injap (valve clearance) yang lebih panjang iaitu pada 30,000 km berbanding 15,000 km sebelum ini.
Setiap pembelian KTM 990 RC R didatangkan bersama jaminan waranti tanpa had perbatuan selama 4 tahun.



