KTM Akui Tak Jangka Hilang Khidmat Pedro Acosta

Pedro Acosta berada bersama keluarga KTM sejak menyertai Red Bull Rookies Cup pada 2019 sebelum merangkul gelaran dunia Moto3 dan Moto2 diikuti pentas MotoGP pada musim 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/17/20261 min read

BOS KTM Racing, Pit Beirer mengakui keputusan pelumba sensasinya, Pedro Acosta untuk menyertai Ducati pada musim depan sesuatu yang sukar.

Malah, pasukan berpangkalan di Austria itu berkata mereka langsung tidak menjangkakan akan kehilangan khidmat pelumba berbakat besar Sepanyol itu.

Acosta berada bersama keluarga KTM sejak menyertai Red Bull Rookies Cup pada 2019 sebelum merangkul gelaran dunia Moto3 dan Moto2 diikuti pentas MotoGP pada musim 2025.

Sekalipun sukar, Pit Beirer begitupun menyifatkan kekosongan itu membuka lembaran baharu buat pasukan pengeluar dari Austria itu.

"Kami terpaksa menerima hakikat Pedro mahu meninggalkan kami selepas sekian lama bersama mengharungi pelbagai cabaran. Situasi ini pada mulanya amat mengecewakan kerana kami meletakkan sandaran penuh kepadanya.

"Tetapi seperti biasa, kehidupan perlu diteruskan. Dan apabila satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka," kata Beirer.

KTM dalam pada itu berjaya mengikat dua bintang pasukan satelit Ducati, Alex Marquez dan Fabio di Giannantonio, yang bakal mengambil alih tempat Acosta dan Brad Binder dalam pasukan 'kilang' itu pada musim 2027.

Mengulas mengenai rekrut baharu itu, Beirer menyifatkan Alex dan di Giannantonio memiliki kemahiran luar biasa yang sudah terbukti di litar, selain mempamerkan peningkatan prestasi yang cukup memberangsangkan dan konsisten pada musim ini.

Menariknya, barisan pelumba serba baharu KTM ini adalah seiring dengan perubahan besar peraturan teknikal kejuaraan MotoGP bagi musim 2027, yang bakal menyaksikan jentera beralih kepada kapasiti enjin 850 cc serta penggunaan tayar Pirelli.

Beirer dalam pada ktu melihat peralihan jentera 850 cc itu sebagai 'permulaan semula' yang sempurna buat KTM kerana ia memberi peluang kepada pasukan untuk merombak sepenuhnya spesifikasi jentera berbekalkan segala pengalaman MotoGP mereka.