KTM 'Amat Hampir' Dengan Ducati - Enea Bastianini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/21/20241 min read
ENEA Bastianini memuji jentera yang dimiliki KTM di MotoGP ketika ini yang dilabelnya sebagai 'amat hampir' dengan kemampuan jentera Ducati GP24.
Bukan sekadar kata kosong, penilaian itu dibuat pelumba pasukan 'Factory' Ducati Lenovo itu berdasarkan keputusan yang diraih pelumba KTM, Brad Binder yang menghuni tangga kedua pada Perlumbaan Sprint dan GP di Grand Prix Qatar 2024.
Bastianini yang menunggang jentera Ducati GP24 yang sama dengan Francesco Bagnaia menamatkan Perlumbaan Sprint di tangga ke-6 sebelum melepasi garisan penamat di tangga kelima di perlumbaan utama.
Dan podium berganda yang diperoleh Binder di Qatar, selain kemampuan Aprilia ketika Perlumbaan Sprint memberi petanda Ducati tidak mampu untuk bersenang lenang pada musim ini.
"Ducati ketika ini adalah rujukan kepada semua pasukan 'kilang' dan KTM amat hampir dengan Ducati ketika ini kerana kita dapat lihat betapa kompetitif Brad di GP dan juga Sprint," kata Bastianini.
"Saya fikir KTM boleh menjadi lebih dekat, bersama Aprilia, sebagai pencabar kami pada tahun ini."
Begitupun, Binder menjadi satu-satunya pelumba bukan Ducati yang melepasi catatan masa 1m 51s di kelayakan 2 di Qatar untuk mengisi petak keempat.
Dan ketika Ducati meneruskan dominasi menerusi dua pelumba Jorge Martin dan Bagnaia, Binder kekal konsisten di kedudukan kedua dan hanya dipisahkan 1.3 saat di belakang Pecco.
Binder sebelum ini menyatakan tahap KTM masih sama seperti tahun lalu namun 'amat jauh' dengan Ducati kerana sekalipun sudah memberikan 100 peratus, pengeluar Itali itu dilihat seperti memiliki kelebihan tersembunyi.