KTM Beku Pembangunan Jentera MotoGP?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/4/20241 min read

KTM dilaporkan akan membekukan pembangunan jentera MotoGP bagi musim 2025 susulan krisis kewangan meruncing yang sedang dihadapi oleh syarikat itu, menurut Motorsport.com.

Keputusan itu difahamkan diambil sebagai salah satu langkah untuk mengekalkan projek sukan permotoran jenama itu kekal selamat.

Seperti laporan sebelum ini, syarikat pengeluar motosikal Austria itu memasuki proses penyusunan semula kewangan dengan kawalan sendiri (self-administration) bermula penghujung November lalu yang bertujuan mengelak kebankrapan.

Antara yang dilakukan termasuklah penghentian sementara semua aktiviti pengeluaran pada awal tahun 2025.

Dan ia termasuk kemungkinan pengurangan sokongan terhadap sukan permotoran bukan saja di Moto2 dan Moto3, namun termasuk di kelas utama MotoGP.

Ini berikutan krisis yang dihadapi mereka jauh lebih besar daripada jangkaan dengan jumlah hutang pengeluar itu dilaporkan sebesar 3 juta Euro (RM 13.5 bilion).

Menurut laporan itu, pegawai rasmi daripada MotoGP sudah mengadakan mesyuarat bersama KTM semasa perlumbaan terakhir musim ini di Barcelona untuk memaklumkan mengenai situasi kewangan syarikat berkenaan.

KTM dalam pertemuan itu memberi jaminan yang projek sukan permotoran mereka akan terus berjalan di MotoGP.

Tetapi untuk mengawal kos, projek pembangunan jentera yang akan ditunggang oleh Pedro Acosta dan Brad Binder (Red Bull KTM) dan Maverick Vinales, Enea Bastianini (Tech 3 KTM) akan dihentikan sementara ketika musim sejuk sehingga ujian pra-musim yang dijadual berlangsung pada awal Februari di Sepang.

KTM sebelum ini pernah mengumumkan kedudukan keempat-empat jenteranya di grid MotoGP 2025 selamat dengan projek sukan permotoran KTM terletak di bawah devisi KTM Racing GmbH.

Syarikat itu dikatakan perlu menyelamatkan program sukan permotorannya kerana jika tidak, ia akan memberi gambaran lebih teruk dan mampu mencipta lebih kerosakan dari sudut jualan ketika ini.

Ketika ujian di Barcelona baru-baru ini, KTM hanya menguji fairing baharu serta beberapa komponen kecil terhadap jentera KTM RC16.

Malah beberapa penunggang ujian KTM termasuk Dani Pedrosa dan Pol Espargaro tidak menyertai ujian berkenaan.