KTM Buka Tempahan KTM RC 8C (2024), Terhad 100 Unit, RM 195.7k!
TERKINI
3/18/20241 min read


KTM mengumumkan tarikh pembukaan tempahan untuk motosikal 'Sportbike' yang 'paling hampir' dengan MotoGP - KTM RC 8C versi 2024 yang sekali lagi dijual pada harga cukup menarik - $ 41,499 (RM 195,779).
Seperti harganya yang mengujakan, hanya 100 unit motosikal yang hanya boleh digunakan di litar itu dihasilkan untuk seluruh dunia dan tempahan untuk mendapatkannya akan dibuka pada 20 Mac ini.
Tiba sebagai model generasi ketiga, KTM RC 8C (2024) secara penampilan tidak banyak berubah berbanding versi sebelumnya dengan perbezaan paling ketara dilihat menerusi skema warna.
Tidak lagi dipadankan dengan gabungan warna Hitam (dominan) dan Jingga, KTM RC 8C (2024) tampil dengan padanan warna Putih, Hitam dan warna tradisi KTM Jingga.
Sebagai info, generasi pertama KTM RC 8C yang dihasilkan sebanyak 100 unit habis ditempah pada masa lima minit dan sekalipun kuantitinya ditambah kepada 200 unit untuk versi kedua, ia habis dalam tempoh dua minit.
Seperti diketahui, KTM RC 8C adalah jentera 'buatan tangan' dan dihasilkan khusus untuk kegunaan di litar. Justeru, ia lengkap dengan pelbagai 'jajan' untuk peminat aktiviti berkenaan.
Antara yang menarik adalah penggunaan panel badan karbon/kevlar dan 'winglet' yang cukup mirip jentera MotoGP.
Di bahagian trenkuasa, KTM bergandingan dengan Kramer Motorcycles untuk menala enjin LC8c bersesaran 889 cc, 'Parallel Twin' yang berupaya menghamburkan kuasa 135 Hp pada 11,000 rpm dan tork 98 Nm pada 8,250 rpm.
Menggunakan kerangka 'tubular steel', ia turut dipadankan dengan suspensi dari jenama WP Apex Pro dan sistem brek bergaya MotoGP Brembo Stylema untuk brek depan yang digandingkan dengan Corsa Corta Radial Master Brake Cylinder Brembo 19RCS.
Sebagai motosikal moden dan antara termaju di pasaran, KTM RC 8C (2024) turut dipadankan dengan pakej elektronik termasuk teramsuk panel meter 'AIM MXS 1.2 RACE' lengkap dengan 'data logger' dan fungsi GPS.
Kepada yang berminat, tempahan untuk KTM RC 8C (2024) dijadual dibuka pada 20 Mac ini pada jam 10 malam dengan lebih informasi boleh diperoleh di laman web rasmi KTM.




















