'KTM Dah Jumpa Peningkatan Yang Diperlukan'

Pelumba Tech3 KTM, Maverick Vinales tidak sabar untuk mengharungi perlumbaan di Mugello, Itali, hujung minggu ini berikutan peningkatan yang diperoleh terhadap jentera KTM RC16.

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/17/20251 min read

MAVERICK Vinales tidak sabar untuk mengharungi perlumbaan di Mugello, Itali, hujung minggu ini berikutan peningkatan yang diperoleh terhadap jentera KTM RC16 ketika ujian di Aragon, Sepanyol.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu membuat kejutan apabila meninggalkan Aprilia untuk menyertai pasukan satelit KTM, Tech3 pada musim ini.

Begitupun tidak seperti jangkaan, bekas pelumba Suzuki dan Yamaha itu mengharungi tempoh sukar yang menyaksikannya sekadar menghuni kedudukan ke-11 dalam carta kedudukan pelumba selepas mengumpul 48 mata.

Ketika ujian di Aragon, Vinales menguji pakej aerodinamik baharu yang dikatakan membantu KTM RC16 mengambil selekoh tanpa melakukan brek selain versi terbaharu sistem damper yang dikatakan mempertingkatkan kemampuan KTM RC16.

"Saya teruja untuk pergi ke Mugello selepas minggu yang positif di Aragon serta ketika di ujian," kata Vinales kepada Crash.net. "Kami menemui peningkatan yang diperlukan ketika ujian, jadi kami mahu melihat jika kami boleh mengaplikasikannya ketika perlumbaan di Itali.

"Di Aragon, kami faham yang kami boleh berada di tahap bersama pelumba-pelumba teratas, tetapi penting untuk kali melakukan strategi yang betul ketika kelayakan, kerana sasaran kami adalah untuk meletakkan jentera kami di barisan depan.

"Saya merasa amat positif, jentera laju, saya tahu saya boleh laju, jadi kami hanya perlu melengkapkannya, dan berharap kami boleh memperoleh minggu yang hebat di Itali. Mugello adalah litar dengan susun atur yang istimewa, saya teruja untuk melihat apa yang menanti kami di sana."