KTM Dedah Kemampuan Jentera 850 cc MotoGP Ketika Ujian, Tapi...

Bos KTM mendedahkan beberapa perincian membabitkan ujian berkenaan antaranya ia tidak menggunakan peranti kawalan ketinggian selain turut berkemungkinan menggunakan tayar Pirelli

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/9/20251 min read

PENGELUAR Austria, KTM mencuri perhatian apabila mendedahkan mereka sudah menguji jentera baharu untuk kempen MotoGP musim 2027 yang menggunakan enjin bersesaran 850 cc di Jerez, Sepanyol pada minggu lalu.

Perkembangan menarik itu hadir hanya beberapa minggu mengikuti pengumuman yang menyaksikan mereka menjadi pengeluar pertama menguji enjin berkenaan di atas mesin dyno.

Untuk ujian di Jerez, ia dikendalikan oleh pelumba ujian, Dani Pedrosa dan Pol Espargaro.

Dan ujian itu jelas menjadi petunjuk mengenai komitmen pengeluar itu bagi kempen MotoGP 2027 selepas mereka dipalit kemelut kewangan meruncing beberapa bulan lalu.

Memetik laporan Speedweek, bos KTM, Pit Beirer turut mendedahkan beberapa perincian membabitkan ujian berkenaan antaranya ia tidak menggunakan peranti kawalan ketinggian selain turut berkemungkinan menggunakan tayar Pirelli.

"Apa yang penting bagi saya adalah kedua-dua pelumba cukup seronok dengan 850," kata Beirer . "Ada petunjuk yang kuat yang konsep yang diusahakan semua orang berjalan dengan baik di atas litar.

"Berlumba tanpa peranti kawalan ketinggian berfungsi dengan sempurna, dan semua orang terkejut dengan bagaimana mereka (pelumba) boleh mencapai catatan masa yang terpuji dengan 850."

Beirer turut mendedahkan yang KTM menjalankan dua siri ujian iaitu terhadap jentera bagi musim 2026 dan musim 2027.

"Ini adalah buktik kukuh terhadap kerja keras kami, dan kami boleh berbangga mempunyai susunan ini serta dua pelumba ujian seperti Pol dan Dani.”

Peralihan kepada jentera 850 cc pada musim 2027 akan menjadi perubahan formula enjin pertama sejak 2012, ketika enjin 1000 cc semasa diperkenalkan.

Bagi KTM, 2027 adalah kitaran perubahan peraturan pertama yang dilaluinya dalam MotoGP selepas menyertai kejuaraan itu pada tahun 2017, setahun selepas era Michelin bermula dan semusim selepas perubahan kepada spesifikasi elektronik.