KTM sudah pun mengenal pasti pelumba berbakat besar yang berpotensi untuk menjadi Pedro Acosta seterusnya bersama pengeluar motosikal gergasi Austria itu di MotoGP.
Dan pelumba yang sedang diintai itu adalah juara dunia Moto3 2024, David Alonso.
Tidak mahu berselindung, bos KTM Motorsports, Pit Beirer melihat Alonso sebagai pelumba yang berpotensi untuk menjadi 'pelumba yang amat istimewa' dan sedang 'memerhatikan' kelibatnya bagi projek MotoGP pasukan itu.
Alonso, 18 dari Colombia memulakan kempen Moto3 pada tahun lalu sebelum mendominasi perlumbaan kelas berkenaan pada tahun ini dan sudah merekodkan 13 kemenangan daripada 19 pusingan yang sudah berlangsung.
Berlumba bersama pasukan Aspar, Alonso akan kekal bersama pasukan itu pada penampilannya bersama Moto2 musim depan.
"Kini David melangkah ke Moto2, sudah tentu kami mahu melihatntya dalam kelas MotoGP pada satu masa nanti," kata Beirer memetik laporan Servus TV. "Pada satu masa, kamu memerlukan pelumba muda sekali lagi.
"Dan sudah tentu, ia menjadi satu impian bagi kami untuk mendapatkan pelumba yang memulakan karier bersama kami di Rookies Cup dan kemudian berkembangan menerusi Moto3.
"David boleh menjadi pelumba yang amat istimewa dengan apa yang dilakukannya, dan kami akan melihatnya sama seperti Pedri agar kami tidak akan kehilangannya."
KTM pada tahun depan mengekalkan pelumba sensasi mereka, Pedro Acosta dan Brad Binder bagi pasukan 'kilang' Red Bull KTM manakala pasukan satelitnya, Tech3 akan membariskan dua pelumba hebat, Maverick Vinales dan Enea Bastianini.