KTM Janji Pedro Acosta 'Kerusi' di MotoGP 2024, Tapi...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/6/20231 min read

SEMUA orang dalam komuniti MotoGP tahu pelumba berbakat Sepanyol, Pedro Acosta dijanjikan kenaikkan 'pangkat' oleh KTM ke kelas elit MotoGP musim depan tetapi sedikit aneh, pasukan yang bakal disertainya kekal teka teki.

Ketika ini, pasukan utama KTM diisi dua pelumba senior, Brad Binder dan Jack Miller dengan kedua-duanya mempunyai kontrak sehingga penghujung musim 2024.

Untuk pasukan satelit yang nampak macam pasukan 'kilang', GASGAS Tech3, pelumba yang beraksi bersama pasukan itu adalah Pol Espargaro dan pelumba 'Rookies' yang juga juara dunia Moto2 musim lepas, Augusto Fernandez.

Kedudukan Pol tampak selamat selepas dia menandatangani kontrak sehingga 2024 tetapi bagi Fernandez, kontraknya hanya sehingga penghujung musim ini.

Juara dunia Moto3 musim 2021, Acosta menjadi antara pelumba yang menjadi buruan banyak pasukan dan selepas mengharungi kempen cemerlang musim ini di Moto2. Dan selepas dia membuat 'gempar', beberapa hari lalu, KTM jelas tidak mahu melepaskannya.

“Acosta akan kekal sebagai pelumba KTM," kata Bos KTM, Francesco Guidotti memetik laporan GPOne. "Kami mempunyai pilihan yang kami boleh guna dan dengan jelas kami melakukannya. Ia pasti MotoGP tetapi pasukan apa yang dia (Acosta) akan pergi akan menjadi satu kejutan!"

Sedikit mengecewakan buat Pol, dia langsung tidak beraksi pada musim ini selepas mengalami kecederaan serius ketika perlumbaan pembuka tirai MotoGP di Portugal dan berharap untuk kembali beraksi di GP Britain di Silverstone pada bulan depan.

Jadi selain Augusto Fernandes, ada peluang buat Pol, yang kini berusia 32 tahun mungkin dilepaskan bagi memberi peluang kepada Acosta.

Acosta, 19 tahun ketika ini bersaing sengit untuk kejuaraan dunia Moto2 musim ini dan berada di tangga kedua carta kedudukan. Dia hanya dibezakan lapan mata dengan pendahulu, Tony Arbolino dari pasukan Elf Marc VDS Racing.

Selain itu, antara cara lain untuk Acosta ke MotoGP adalah dengan cara KTM menubuhkan satu lagi pasukan satelit namun pendekatan itu nampak sukar.

Sumber imej: FB Red Bull KTM Ajo