KTM Label Marc Marquez, Jorge Martin Bukan Pilihan Realistik

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/28/20241 min read

KTM yang kerap dikaitkan dengan dua pelumba 'hangat' di MotoGP ketika ini, Jorge Martin dan Marc Marquez menjelaskan khidmat kedua-dua pelumba Ducati itu sebagai tidak realistik.

Penjelasan itu dibuat oleh Pengarah Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer di GP Catalan yang menjelaskan dua pelumba itu tidak lagi berada dalam senarai pengeluar Austria itu.

Martin dan Marquez, selain Enea Bastianini sedang rancak dikaitkan dengan satu posisi di pasukan 'kilang' Ducati Lenovo bagi musim 2025 yang turut membuka peluang kepada pasukan lain untuk mendapatkan khidmat siapa yang tidak terpilih.

Tetapi ketika ditanya mengenai situasi berkenaan, Beirer berkata pihaknya fokus kepada pelumba sedia ada pasukan itu dan tidak pernah membincangnya mengenai kehadiran Martin atau Marquez.

"Saya ditanya jika kami mahu mendapatkan Jorge Martin atau jika kami ingin mendapatkan khidmat Marc Marquez," kata Beirer.

"Saya cuba meletakkan diri saya keluar daripada perbincangan ini. Saya tidak mahu untuk dilihat sebagai orang penting yang mahu mendapatkan pelumba seperti Martin atau Marquez.

"Saya fikir kami tidak. Ini adalah masanya untuk kami melindungi pelumba-pelumba kami. Motivasi terbesar kami adalah membawa keempat-empat pelumba kami ke prestasi terbaik mereka.

"Kami mahu membawa Brad (Binder) di mana dia mahu berada. Juga untuk Jack (Miller) dan Augusto (Fernandez). Dan kami tidak berbincang dengan pelumba-pelumba lain, untuk meletakkan tekanan kepada pelumba yang kami ada."

KTM ketika ini sudah mengesahkan dua pelumba, Binder dan Pedro Acosta bagi musim 2025 namun kontrak Miller dan Fernandez berakhir hujung musim ini.