KTM Lantik Aki Ajo Pengurus Red Bull KTM MotoGP Musim 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/30/20241 min read

AKI Ajo, antara nama yang tidak asing di pit MotoGP, hari ini dilantik KTM sebagai Pengurus Pasukan Red Bull KTM MotoGP bermula musim 2025.

Ajo yang mempunyai pasukan beraksi di pentas Moto2 dan Moto3 akan menggantikan tempat yang dikosongkan oleh Francesco Guidotti yang mula menyertai KTM pada 2022.

Peletakan jawatan Guidotti sudah dijangka selepas timbul khabar angin mengenai perkara itu sejak di Misano, Itali sebelum ia disahkan di Mandalika.

"Kami mempunyai hubungan yang istimewa dan menjalankan kerjasama yang amat rapat dengan Aki jadi kami merasakan ini adalah keputusan terbaik untuk membawa projek MotoGP kami ke hadapan," kata Pengarah Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer.

"Saya pernah bercakap mengenainya sebelum ini dan akan menyatakannya sekali lagi, dia mempercayai kami apabila kami semakin tersusun di paddock ini, jadi kepercayaan dan persahabatan tidak lagi boleh ditandingi.

"Kejayaan pasukannya membuktikannya. Dia sudah memenangi pelbagai gelaran kedua-dua pelumba (Brand Binder dan Pedro Acosta) yang dia akan berada berada bersama di pit pasukan pada 2025 tetapi pengetahuan hanyalah salah satu perkara dalam kepakaran yang dimilikinya dan dibawa ke sini.

Pasukan milik Ajo, Ajo Motorsport membuat debut di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas 125 cc pada 2001 dan mereka merangkul kemenangan pertamanya di kejuaraan dunia pada 2008 bersama Mike De Meglio menggunakan Derbi.

Pelumba Gresini Ducati, Marc Marquez memberikan Ajo kejuaraan pada tahun 2010.

Ajo mula bekerjasama dengan KTM pada era Moto3 pada 2012 dan memenangi perlumbaan sulung kelas itu bersama Sandro Cortese. Pasukan itu kemudian memenangi dua lagi gelaran dunia bersama Binder (2016) dan Pedro Acosta (2021).

Selepas menggunakan casis KTM pada 2017 hingga 2019, Ajo kembali kepada Kalex dan memenangi tiga gelaran dunia terakhir iaitu bersama Remy Gardner, Augusto Fernandez dan Pedro Acosta.

"Satu penghargaan untuk ditawarkan peranan baharu yang hebat ini dan peluang untuk bekerja di MotoGP bersama pasukan Red Bull KTM Factory Racing," kata Ajo.

"Ketika ini MotoGP berada di tahap amat tinggi jadi kami memerlukan kerja yang berterusan daripada segenap arah dan menggunakan kekuatan yang sudah kami bina dengan pakej KTM untuk mendapatkan standard lebih baik."