KTM Malaysia Jadual Lancar KTM 390 Duke (2024) Bulan Ini?

TERKINI

3/2/20241 min read

KTM Malaysia dikatakan tidak akan menunggu lama untuk membawa masuk salah satu penawaran terbaharu jenama itu, generasi terkini KTM 390 Duke (2024) ke pasaran tempatan.

Lebih menarik, menurut sumber yang diperoleh, pelancaran motosikal bergaya 'Naked' itu dijadual berlangsung pada bulan ini (Mac).

Dan perkembangan itu turut dikuatkan apabila ada rakan media automotif tempatan dijemput untuk menjalani sesi tunggang uji model berkenaan di Eropah.

Malah KTM Malaysia juga sebelum ini turut berkongsikan imej lampu depan model berkenaan di laman sosial rasminya.

Seperti diketahui, KTM memperkenalkan generasi terbaharu KTM 390 Duke pada tahun lalu yang bukan saja mendapat kemas kini dari sudut rekaan, namun turut membabitkan bahagian trenkuasa.

Menariknya menurut syarikat itu, perubahan dibuat untuk model berkenaan adalah lebih 90 peratus berbanding model generasi terdahulu dengan perubahan yang dinantikan adalah rekaan lampu depan itu nampak seperti 'wajah' karakter robot terkenal Bumblebee.

Di bahagian trenkuasa, ia dipadankan dengan enjin serba baharu bersesaran 399 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang menggantikan enjin sebelum ini bersesaran 373 cc dengan sistem transmisi 6 kelajuan klac manual.

Dengan perubahan itu, kuasa yang dihasilkan oleh KTM 390 Duke (2024) meningkat iaitu 44 Hp dan tork 39 Nm berbanding 42.9 Hp dan tork 37 Nm bagi versi terdahulu.

Turut dinaik taraf adalah panel meter TFT berwarna bersaiz 5 inci yang kini tampil dengan ciri lebih moden lengkap dengan sambungan ke telefon pintar turut menawarkan ciri ‘turn-by-turn navigation.'

Selain itu, ciri elektronik KTM 390 Duke (2024) turut dipertingkatkan dan paling menarik pastinya ciri ‘launch control’ selain tiga mod menunggang (Rain, Street dan Track).

Tidak 'kedekut', KTM turut mengekalkan ciri seperti klac 'Slipper' dan 'bi-directional quick shifter' dengan sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) WP boleh laras penuh dan penyerap hentak belakang tunggal juga dengan pelarasan (preload).

Sistem brek pula dipadankan dengan cakera tunggal (depan, belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan turut menawarkan ciri seperti cornering ABS dan Supermoto ABS.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada KTM Malaysia namun ia memang perkembangan yang mengujakan.