KTM Malaysia Kongsi Imej Lampu Depan KTM 390 Duke 'Gen' Baharu, Pelancaran Tak Lama Lagi?
TERKINI
1/29/20242 min read
KTM memperkenalkan generasi terbaharu KTM 390 Duke pada tahun lalu yang bukan saja mendapat kemas kini dari sudut rekaan, namun turut membabitkan bahagian trenkuasa.
Tiba sebagai model generasi baharu, KTM 390 Duke (2024) dari sudut penampilan mengekalkan tema 'Sporty' dan agresif namun penggunaan lampu depan baharu membuatkannya tampak lebih 'hensem' dan garang.
Dan menurut rakan media, rekaan lampu depan itu nampak seperti 'wajah' karakter robot terkenal Bumblebee.
Belum tiba di pasaran Malaysia, begitupun ada perkembangan mengujakan dilakukan oleh KTM Malaysia baru-baru ini menerusi perkongsian imej lampu depan salah satu model terbaharu syarikat pengeluar motosikal Austria itu.
Selepas diteliti, ia adalah lampu depan KTM 390 Duke (2024) serba baharu.
Dan seperti dijangka, perkembangan itu berjaya mencipta keterujaan dan paling utama, memberi persoalan adakah ia akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.
Mengulas perubahan KTM 390 Duke (2024), selain lampu depan, turut baharu adalah rekaan tangki bahan api dan bahagian panel sisi selepas ia kini dipadankan dengan kerangka atau 'casis' trellis baharu.
Dengan perubahan itu, KTM 390 Duke (2024) kini tiba dengan penampilan lebih besar berbanding dengan berat 165 kg (kering).
Seperti dinyatakan, ia turut dipadankan dengan enjin serba baharu bersesaran 399 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang menggantikan enjin sebelum ini bersesaran 373 cc.
Sistem transmisi menggunakan kotak gear 6 kelajuan klac manual.
Dengan perubahan itu, kuasa yang dihasilkan oleh KTM 390 Duke (2024) meningkat iaitu 44 Hp dan tork 39 Nm berbanding 42.9 Hp dan tork 37 Nm bagi versi terdahulu.
Turut dinaik taraf adalah panel meter TFT berwarna bersaiz 5 inci yang kini tampil dengan ciri lebih moden lengkap dengan sambungan ke telefon pintar turut menawarkan ciri ‘turn-by-turn navigation.'
Selain itu, ciri elektronik KTM 390 Duke (2024) turut dipertingkatkan dan paling menarik pastinya ciri ‘launch control’ selain tiga mod menunggang (Rain, Street dan Track).
Seperti model terdahulu, KTM turut mengekalkan ciri seperti klac 'Slipper' dan 'bi-directional quick shifter.'
Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) WP boleh laras penuh dan penyerap hentak belakang tunggal juga dengan pelarasan (preload).
Sistem brek pula dipadankan dengan cakera tunggal (depan, belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan turut menawarkan ciri seperti cornering ABS dan Supermoto ABS.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada KTM Malaysia tetapi menurut jangkaan, penantiannya tidak akan lama. Sama-sama kita nantikan.