KTM Malaysia Lancar 4 Model 'Lasak' Siri 390, Harga Mula RM 27.3k!

Pelancaran 4 model baharu dalam platform KTM 390 di pasaran Malaysia menandakan evolusi terbaharu jenama KTM dengan fokus kepada keupayaan pelbagai permukaan dengan tema “≠1 Two Worlds, Zero Excuses”, yang menggabungkan kelebihan motosikal jalan raya dan laluan lasak dalam satu pakej serba lengkap

PELANCARAN

5/8/20262 min read

KTM Malaysia merancakkan penawaran motosikal dalam segmen dwi-guna tempatan apabila melancarkan empat model terbaharu di bawah siri platform KTM 390 (2026).

Menurut KTM Malaysia, pelancaran itu menandakan evolusi baharu platform KTM 390 yang kini memfokuskan keupayaan di pelbagai permukaan menerusi tema '≠1 Two Worlds, Zero Excuses' yang menggabungkan kehebatan karakter jalan raya dan laluan lasak dalam satu pakej lengkap.

Empat model yang dipertaruhkan itu adalah KTM 390 Adventure R yang dijual pada harga asas RM 33,300, KTM 390 Adventure X (RM 29,300), KTM 390 Enduro R (RM 27,300) dan supermoto, KTM 390 SMC R (RM 27,300).

Lebih menarik perhatian, kesemua harga asas tersebut turut ditawarkan bersama pakej pemasangan sistem penukaran gear pantas (Quickshifter+) secara percuma, serta perlindungan waranti selama empat tahun.

Dari sudut trenkuasa, kesemua model dikuasakan oleh platform yang sama iaitu enjin LC4c bersesaran 398.7 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Fi dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan berada pada angka 45 PS dan tork 39 Nm dengan KTM mendakwa kesemua model menawarkan nisbah kuasa-ke-berat antara yang terbaik dalam kelasnya.

Bagi memberikan ketenangan minda dan mengurangkan kos pemilikan jangka panjang, KTM turut memanjangkan jarak selang servis jentera ini kepada setiap 10,000 kilometer (km) selepas servis pertama pada jarak 1,000 km.

Perincian Spesifikasi:

1. KTM 390 Adventure R

Model paling 'hardcore' dalam siri ini dengan rekaan diinspirasi secara terus daripada jentera rali. Dilengkapi panel meter TFT 5-inci beresolusi tinggi berserta tiga mod tunggangan iaitu Street, Off-Road, dan Rain. Keupayaan meredah halangannya disokong oleh fork hadapan WP APEX Open Cartridge 43 milimeter (mm) dengan jarak lega bumi 230 mm, sistem Kawalan Cengkaman Motosikal (MTC), Cornering ABS dan Offroad ABS.

2. KTM 390 Adventure X

Disasarkan kepada penunggang yang mahukan model lasak yang memiliki kemampuan 'touring' dan kembara ringan yang praktikal. Lebih mesra penunggang dengan ketinggian pelana 825 mm, selain dibekalkan tangki bahan api 14 liter untuk tunggangan jarak jauh. Set suspensi WP APEX yang digunakan turut ditala bagi memberikan keseimbangan sempurna antara keselesaan jalan bertar dan laluan gravel.

3. KTM 390 Enduro R

Dibangunkan berasaskan model abangnya, KTM 690 Enduro R, KTM 390 Enduro R memfokuskan tunggangan dual-sport sebenar. Dengan berat kering hanya 159 kilogram (kg), ia cukup lincah untuk laluan teknikal mahupun kegunaan bandar. Menggunakan rim lidi bersaiz 21 inci di depan dan 18 inci di belakang. Ciri tambahan termasuk sistem ABS Bosch 10.3MB yang menyokong mod Offroad, serta komponen yang boleh laras.

4. KTM 390 SMC R

Kehadiran KTM 390 SMC R turut mencipta sejarah kerana ini kali pertama KTM Malaysia membawa masuk model supermoto bersesaran kecil ke pasaran tempatan. Direka khusus untuk tunggangan agresif di jalanan dan litar, ia dilengkapi sistem Supermoto ABS yang membenarkan penunggang melakukan aksi gelongsor (slide) dengan yakin tanpa hilang kawalan. Kuasa hentian jentera ini diserahkan kepada brek cakera radial 320 mm berserta kaliper ByBre.