KTM Malaysia Sambut Ulang Tahun Ke-30 Duke, Lancar 250, 390, 990 Duke Dan 1390 Super Duke R (2024)

PELANCARAN

5/4/20243 min read

KTM Malaysia melancarkan empat penawaran baharunya dalam 'keluarga' Duke - KTM 250, 390, 990 Duke dan 1390 Super Duke R (2024) di pasaran tempatan yang dijalankan serentak dengan sambutan ulang tahun ke-30 model 'Naked' berkenaan.

Harga jualan yang diumumkan untuk keempat-empat model berkenaan adalah seperti berikut:

  • KTM 250 Duke (2024): RM 22,500

  • KTM 390 Duke (2024): RM 35,800

  • KTM 990 Duke (2024): RM 99,800

  • KTM 1390 Super Duke R (2024): RM 151,300

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dan perinciannya adalah seperti berikut:

KTM 250 Duke (2024)

Tiba sebagai 'adik bongsu' dalam keluarga Duke bagi tahun 2024 di Malaysia, KTM 250 Duke (2024) serba baharu tampil dengan perwatakan lebih garang dan nampak seperti jentera berkuasa tinggi berbanding versi sebelumnya.

Antara perubahan paling ketara adalah rekaan tangki bahan api yang lebih 'tajam' dan 'sasa' serta lampu depan yang didakwa lebih menarik dan mirip watak filem 'Bumblebee'.

Di bahagian trenkuasa, enjin yang dipadankan kekal bersesaran 248.8 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, namun tidak lagi menggunakan sistem 'dual cam' DOHC namun SOHC.

Sistem transmisi kekal 6 kelajuan lengkap dengan 'Slipper clutch' tetapi apa yang menarik, ia kini dilengkapi dengan sistem 'Quickshifter+'.

Pembaharuan lain adalah seperti panel meter digital LCD 5 Inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit selain ketinggian pelana direndahkan kepada 800 mm.

Pembaharuan itu menyaksikan kuasanya kini meningkat kepada 31 Hp dan tork 25 Nm berbanding 30 Hp dan tork 24 Nm pada versi terdahulu.

KTM 390 Duke (2024)

Jika tidak dilihat secara terperinci, rekaan KTM 390 Duke (2024) tampak cukup mirip dengan KTM 250 Duke (2024) dengan perbezaan paling ketara adalah di bahagian lampu utama yang disepadukan dengan lampu siang (DRL) yang lebih menarik.

Peningkatan kerata lain adalah di bahagian trenkuasa dengan KTM 390 Duke (2024) dipadankan dengan enjin 399 cc (373 cc sebelum ini), 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Angka kuasa yang dihasilkan juga lebih besar iaitu 44 Hp dan tork 39 Nm.

Apa yang lebih menarik, ciri seperti klac slipper dikekalkan dan sistem 'Quickshifter+' (Atas, bawah) datang secara standard selain pakej elektronik lebih canggih seperti ‘launch control’, mod tunggangan (3 - Rain, Street dan Track) yang diakses menerusi panel meter jenis TFT berwarna.

KTM 990 Duke (2024)

SEKALI lagi, KTM menjelaskan yang KTM 990 Duke (2024) bukanlah model pengganti atau naik taraf namun model serba baharu yang dibangunkan KTM untuk kepuasan peminatnya.

Diperkenalkan di Pameran Motosikal Milan (EICMA) pada 2023, ia dipadankan dengan enjin LC8c serba baharu bersesaran 947 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Angka kuasa adalah sebesar 123 Hp dan tork 103 Nm yang menjadikan KTM 990 Duke (2024) jentera bawah 1,000 cc paling berkuasa daripada jenama itu.

Daripada sudut rekaan, selain tampak lebih 'garang', apa yang mengujakan adalah rekaan lampu depan jenis terdedah tanpa pelindung yang didakwa seperti watak alien 'Predator'.

Tiba dengan harga menghampiri RM 100k, KTM 990 Duke (2024) dipadankan dengan sistem elektronik yang boleh dianggap lengkap menerusi penggunaan sistem IMU (Unit Pengukuran Inersia), Kawalan Traksi, 'Lean-sensitive ABS', mod tunggangan (ada mod Track dan Supermoto), 'Cornering ABS' dan sebagainya.

Untuk mengakses segala maklumat serta tetapan pula menggunakan panel meter TFT-LCD berwarna 5 inci dan memiliki ciri sambungan ke telefon bimbit.

KTM 1390 Super Duke R (2024)

Sebagai model aras tinggi dalam segmen 'Naked' daripada KTM, syarikat pengeluar Austria itu 'menyumbat' segala ciri-ciri elektronik canggih terkini kepada KTM 1390 Super Duke R (2024).

Dari sudut penampilan, rekaan KTM 1390 Super Duke R (2024) tampil dengan perwatakan cukup 'bengis' dengan penggunaan lampu depan yang seperti KTM 990 Duke (2024) iaitu jenis terdedah.

Seperti KTM 990 Duke (2024), KTM 1390 Super Duke R (2024) adalah model serba baharu yang dipadankan dengan enjin baharu LC8 V-Twin 1,350 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair.

Apa yang mengujakan adalah angka kuasa yang dihamburkan iaitu 190 Hp dan tork 145 Nm.

Sebagai model aras tinggi, KTM 1390 Super Duke R (2024) dipadankan dengan pelbagai komponen premium antaranya suspensi Fork WP Apex (boleh laras penuh), sistem brek Brembo Stylema dan teknologi canggih seperti sistem IMU, mod tunggangan (5 - Street, Sport, Rain, Performance dan Track), skrin TFT digital 5 inci lengkap dengan sambungan telefon pintar dan sebagainya.

Untuk yang berminat dengan keempat-empat barisan Duke (2024), informasi lanjut boleh didapati di semua cawangan pengedar sah KTM Malaysia.