KTM Malaysia Umum Tempahan KTM 890 SMT (2024), Harga Bawah RM 110k, Unit Terhad!

TERKINI

12/22/20232 min read

KTM memperkenalkan motosikal 'Supermoto touring' terbaharunya KTM 890 SMT (2024) di pasaran global pada April lalu dan tak menunggu lama, peminat di Malaysia kini berpeluang untuk memilikinya.

Begitupun kepada yang berminat, mereka perlu bertindak pantas kerana KTM Malaysia mengumumkan model berkenaan datang dalam unit yang cukup terhad.

Secara keseluruhan, hanya lapan unit akan diperuntukkan oleh KTM Malaysia dengan tempahan sudah pun dibuka dan boleh dibuat di cawangan pengedar rasmi KTM seluruh negara.

Dan harga yang diletakkan untuk penggemar aktiviti penjelajahan lasak dan tiba sebagai unit import penuh (CBU) itu adalah di bawah RM 110,000.

Mengulas ringkas spesifikasi KTM 890 SMT, ia adalah model yang dibangunkan dengan menggandingkan keseronokkan lasak 'Supermoto' dan jelajah atau 'Touring'.

Untuk itu, dari sudut rekaan, ia nampak mirip model 'Saudaranya' KTM 890 Adventure namun dengan beberapa perubahan antaranya penggunaan tangki bahan api lebih langsing, pelana 'single piece' serta visor angin rendah dan ‘splash guard’ yang diposisi pada fork depan.

Selain itu, posisi bar hendal juga datang dengan ciri boleh laras (6 tetapan).

Di bahagian trenkuasa, KTM 890 SMT (2024) dijana enjin LC8c bersesaran 889 cc, Parallel-twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan.

Seperti dijangka, ia adalah trenkuasa yang sama dengan beberapa model seperti KTM 890 Adventure tetapi ditala semula untuk menghasilkan kuasa dan tork yang lebih tinggi iaitu 105 Hp pada 8,000 rpm dan tork 73.7 Nm pada 6,500 rpm.

Di bahagian suspensi, motosikal ini dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) jenama WP APEX dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan jenama sama lengkap dengan ciri pelarasan penuh.

Sistem brek menggunakan cakera berkembar bersaiz 330 mm dengan kaliper 4 piston (depan) dan cakera tunggal 260 mm bersama kaliper 2 piston.

Di bahagian elektronik, KTM 890 SMT (2023) datang dengan tiga mod tunggangan (Street, Sport, Rain), Sistem Kawalan Traksi (10 tetapan). Selain itu, turut tersedia adalah Cornering Motorcycle Traction Control (MTC) yang mengawal tahap kecondongan motosikal di jalan raya/litar.

Informasi lain adalah seperti jarak lega bumi 180 mm, ketinggian pelana 858 mm, panel meter menggunakan jenis TFT 5-inci berwarna dan set roda 120/70-17 (depan) dan 180/55-17 (belakang).

Tetapi kepada yang mahukan ciri yang dianggap premium seperti Quickshifter+, 'Cruise Control', Motor Slip Regulation (MSR) dan pemanas bar hendal, KTM menawarkan ciri berkenaan sebagai pilihan.