KTM Masih Inginkan Khidmat Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/15/20241 min read

KTM sebelum ini kuat dikaitkan dengan perpindahan membabitkan Marc Marquez namun bintang MotoGP Sepanyol itu memilih pasukan satelit Ducati selepas meninggalkan Repsol Honda.

Berpotensi untuk mencipta kejayaan bersama Ducati bagi musim 2024, begitupun hakikatnya juara dunia MotoGP enam kali itu hanya menandatangani kontrak setahun bersama Gresini Ducati.

Justeru, peluang dilihat masih belum tertutup buat KTM lebih-lebih lagi kedua-dua entiti berkongsi penaja utama iaitu Red Bull dan ia diakui sendiri Pengarah Urusan KTM Sepanyol, Marc Coma.

"Saya, pertama sekali mengucapkan yang terbaik kepada Marc kerana dia sudah mengharungi dua tahun yang cukup sukar," kata Coma memetik laporan Marca.

"Dia memperoleh segala penghormatan daripada saya kerana mengekalkan keinginannya untuk berjuang selepas memenangi segala-galanya.

"Bermula dari sana, masa depan boleh berubah ribuan kali. Saya tidak fikir yang kami akan mengetahui banyak mengenainya sehingga pertengahan musim ini..."

Marquez dikaitkan dengan perpindahan ke KTM pada tahun lalu selepas pelumba itu duduk bersebelahan dengan bos besar KTM dalam satu rancangan TV ketika GP Austria dan turut menyuarakan kekaguman terhadap kemajuan dicapai pasukan itu.

Seperti diketahui, pengeluar asal Austria itu memiliki rancangan cukup besar di MotoGP dan sudah memohon penambahan jentera di grid sebelum ditolak.

KTM memperoleh khidmat juara dunia Moto2, Pedro Acosta dalam kempen MotoGP musim 2024 dan berlumba bersama pasukan satelit Tech3 GasGas.

Dan gandingan kedua-dua pelumba Sepanyol itu disifatkan ramai peminat MotoGP sebagai gandingan idaman.