KTM 'Peram' Augusto Fernandez Demi Beri Laluan Kepada Pedro Acosta Di MotoGP
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/3/20231 min read
KTM jelas cukup menyayangi anak emasnya, Pedro Acosta dan dilaporkan sudah memperoleh cara untuk menyenaraikan pelumba Sepanyol itu dalam kancah MotoGP musim depan.
Dan caranya mungkin sedikit kejam, menurut laporan Speedweek iaitu memaksa pelumba 'Rookienya' musim ini, Augusto Fernandez untuk bertukar peranan sebagai pelumba ujian dan simpanan.
Fernandez yang juga juara dunia Moto2 musim lalu membuat penampilan sulung di MotoGP musim ini bersama pasukan satelit KTM, Tech3 GASGAS bergandingan dengan Pol Espargaro.
Dan sekalipun keputusan yang diperolehnya boleh dikatakan cukup untuk mengekalkan tempatnya di MotoGP musim depan, KTM jelas tidak bersependapat.
KTM sebelum ini terpaksa berusaha keras mencari jalan untuk menyenaraikan lima pelumba di MotoGP musim depan kepada sudah 'berjanji' kepada Acosta atau berpotensi kehilangan pelumba itu.
Salah satunya adalah membeli salah satu pasukan satelit sedia ada dengan pasukan RNF Aprilia Racing turut dikaitkan namun dinafikan.
Musim ini, KTM menyenaraikan Brad Binder dan Jack Miller untuk pasukan 'Factory' dan Espargaro dan Fernandez bersama pasukan satelit.
"Berikutan 22 pusingan perlumbaan Grand Prix dirancang (2024), keperluan untuk pasukan 'Factory' untuk mempunyai pelumba ujian dan simpanan yang hebat dan mempunyai kontrak amat penting," kata bos KTM, Stefan Pierer kepada Speedweek.
Apa yang sedikit melegakan buat Fernandez adalah KTM sememangnya berhasrat untuk menambah satu lagi pasukan satelit pada musim 2025 di MotoGP.
Jika ia menjadi kenyataan, salah satu 'seat' dijangka memang tersedia untuknya.
Selain itu, sekalipun bergelar pelumba ujian dan simpanan, Fernandez turut didakwa akan beraksi dalam sekurang-kurangnya enam perlumbaan secara 'Wildcard' pada 2024 selain menjadi pelumba pengganti sekiranya diperlukan.
Ketika ini, Acosta, 19 tahun tampak berpeluang cerah menjuarai gelaran dunia Moto2 dan sedang memimpin carta kedudukan 2023 dengan kelebihan 50 mata berbaki enam pusingan perlumbaan.