KTM Perkenal Liveri Red Bull KTM, Tech3 KTM Bagi Musim 2026

Pasukan 'kilang' Red Bull KTM dipacu pelumba muda Pedro Acosta dan pelumba berpengalaman Brad Binder manakala pasukan satelit Tech3 KTM menampilkan jaguh Sepanyol, Maverick Vinales dan Enea Bastianini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/27/20261 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal terkemuka Austria, KTM menjadi pasukan seterusnya memperkenalkan liveri dan jentera 2026 untuk dua pasukannya di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) - Red Bull KTM Factory Racing dan Tech3 KTM yang berlangsung secara atas talian.

Bagi pasukan 'kilang' Red Bull KTM, pasukan itu dipacu pelumba muda Pedro Acosta dan pelumba berpengalaman Brad Binder.

Pasukan satelit Tech3 pula turut kekal dipacu dua pelumba berpengalaman, Maverick Vinales dan Enea Bastianini.

Apa yang menarik, liveri kedua-dua pasukan tidak menampakkan perbezaan membabitkan skema warna dan corak grafik.

Seperti tahun lalu, KTM turut membekalkan jentera spesifikasi terkini kepada pasukan Tech3 KTM.

Pelancaran turut menandakan permulaan era baharu buat Tech3 yang berpangkalan di Perancis selepas pengambilalihan oleh konsortium diketuai bekas pengurus pasukan Formula 1, Guenther Steiner pada 1 Januari lalu.

Perubahan itu menyaksikan pengasas Tech3, Herve Poncharal kekal sebagai konsultan dengan Richard Coleman dilantik sebagai prinsipal pasukan manakalla Nicolas Goyon terus memegang jawatan pengurus pasukan.

Sebagai rekod, kali terakhir KTM meraih kemenangan dalam MotoGP adalah menerusi Miguel Oliveira, manakala kejayaan terakhir Binder pula direkodkan pada pertengahan 2021.

Sejak itu, mereka berdepan cabaran getir untuk kembali bersaing di barisan hadapan dengan tahun lalu boleh dikatakan antara paling sukar berikutan situasi kewangan yang melanda syarikat induk.

Begitupun, Acosta berjaya menampilkan kebangkitan di penghujung musim apabila muncul naib juara sebanyak enam kali musim lalu termasuk perlumbaan Sprint dan dilihat sebagai harapan utama untuk mengembalikan kegemilangan KTM.

Acosta menamatkan musim 2025 di kedudukan keempat keseluruhan – pencapaian terbaik KTM setakat ini.

Musim 2026 menandakan tahun ke-10 KTM dalam MotoGP bersama penaja utama Red Bull. Apa yang menarik, walaupun kedudukan masa depan pasukan masih samar akibat isu kewangan, KTM tetap menjadi pengeluar pertama yang menguji enjin spesifikasi 850 cc untuk musim 2027 di Jerez, Disember lalu.

Setakat ini, tiada pelumba KTM memiliki kontrak melebihi musim 2026 menjadikan prestasi tahun ini amat penting dalam menentukan hala tuju pasukan.