KTM Rancang Tinggalkan MotoGP 2026?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/30/20241 min read

KTM didakwa 'merancang' untuk menarik diri daripada saingan MotoGP pada 2026, menurut laporan yang dikeluarkan media Austria.

Syarikat pengeluar motosikal gergasi itu ketika ini sedang mengharungi krisis kewangan meruncing dan berada dalam status 'pengurusan sendiri' bagi mengelak bankrup dengan hutang dikatakan melebihi 3 bilion euro.

Mengikuti perbicaraan pertama bersama pemiutangnya awal bulan ini, proses penstrukturan semula KTM akan membenarkan syarikat itu kekal meneruskan perniagaannya seperti biasa.

Tetapi menurut laporan yang dikeluarkan oleh Alpine Creditors Association (AKV) mengikuti perbicaraan pertama itu, antara langkah penyusunan semula termasuklah 'perancangan' keluar KTM daripada MotoGP.

KTM mengeluarkan kenyataan bagi membalas laporan itu dengan menegaskan yang mereka komited dengan program MotoGP pada 2025 tetapi ia tidak melebihi daripada tahun berkenaan.

Dan media Austria, Der Standard, semalam (29 Disember) melaporkan yang penarikan diri KTM daripada MotoGP akan berlaku pada 2026 iaitu pada tahun terakhir kontraknya bersama Dorna Sports.

Laporan Der Standard berkata pengurusan KTM menjangkakan 'kerosakan perhubungan awam' jika pengunduran diri mereka daripada MOtoGP berlaku sebelum tempoh itu.

Pelumba 'Senior' KTM, Brad Binder ketika ini mempunyai kontrak sehingga penghujung 2026 manakala tiga lagi pelumbanya, Pedro Acosta, Enea Bastianini dan Maverick Vinales mempunyai perjanjian selama beberapa tahun.

Analisis daripada Boston Consulting Group meletakkan jangkaan yang masa depan KTM nampak cerah dan boleh melakukan penjimatan puluhan juta euro jika menamatkan program sukan permotorannya.